X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga tertekan tularkan video durian tak laku

Mohd Firdaus (kiri) beri penerangan kepada Razman (tengah) mengenai isu durian yang tular sebelum ini di premis jualannya di Ijok, Larut pada Khamis.
A
A

LARUT - Tertekan dengan longgokan durian yang tidak terjual, seorang peniaga bertindak menularkan video yang dirakam di media sosial untuk menarik simpati orang ramai termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Peniaga tersebut, Mohd Firdaus Endut, 41, berkata, video itu dirakam secara spontan di gerainya di Ijok, di sini pada Isnin sebelum tular beberapa hari.

Menurutnya, hasil video yang tular itu berjaya menarik perhatian Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dan FAMA yang membantu menyelesaikan masalah itu.

"Video itu sebenarnya tidak berniat untuk menyalahkan sesiapa termasuklah FAMA tetapi apa yang berlaku itu spontan sebab saya ketika itu dalam keadaan tertekan, buah banyak tak boleh jual.

"Lambakan durian berlaku ketika itu dengan kira-kira dua tan buah tidak boleh dijual kerana pemborong tak ambil sebab Hari Raya Haji," katanya kepada pemberita selepas ditemui di premisnya di Ijok, di sini pada Khamis.

Mohd Firdaus turut mengakui dakwaan bahawa FAMA tidak mengambil tahu tentang masalah yang dihadapi dalam video tular itu tidak tepat dan menghargai tindakan pantas FAMA membeli buah duriannya.

Katanya, sebelum ini terdapat pemborong dari Kelantan dan Terengganu yang mengambil buah durian itu namun disebabkan kekangan hari raya serta buah durian yang luruh serentak mengakibatkan lambakan tersebut berlaku.

Menurutnya, ketika ini harga durian kampung di peringkat peraih RM2.50 hingga RM3.50 sekilogram kerana jumlah durian yang luruh semakin banyak.

Sementara itu, Razman yang turun padang melihat keadaan itu menegaskan bahawa FAMA sentiasa proaktif dalam memastikan tidak berlaku lambakan buah durian bagi membantu pekebun dan peraih.

Menurutnya, sebanyak tiga tan durian milik Mohd Firdaus diambil oleh FAMA untuk dipasarkan ke Kedah, Selangor dan Perak.

"Kita harap petani boleh terus berhubung dengan FAMA atau pejabat saya jika berlaku masalah lambakan durian. Tak perlulah buat video dan tularkan untuk selesaikan masalah.

"Keadaan ini sebenarnya berlaku disebabkan pemborong dan peniaga tidak dapat mengambil durian disebabkan hari raya. Kedai-kedai juga banyak yang tutup," katanya.

Menurutnya, lambakan yang berlaku tidaklah begitu besar dan dakwaan FAMA tidak membantu petani juga tidak tepat.

Beberapa hari lalu, video berdurasi dua minit 22 saat itu tular di media sosial berkenaan berlaku lambakan durian dengan mendakwa FAMA tidak mengambil tahu keadaan tersebut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!