Gangguan bekalan air berjadual di Seberang Perai Selatan 29 Julai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Selatan akan mengalami gangguan bekalan air secara berjadual pada 29 Julai ini berikutan kerja-kerja penyenggaraan di Loji Rawatan Air Bukit Panchor.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, kerja-kerja penyenggaraan preventif itu akan dijalankan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

"Henti tugas Loji Rawatan Air Bukit Panchor adalah perlu untuk membolehkan kerja-kerja penyenggaraan dilaksanakan melibatkan pemasangan pam air mentah, Pengapungan Udara Terlarut (DAF) serta penggantian gear suis dan pendawaian Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA) oleh Tenaga Nasional Berhad,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kerja penyenggaraan pada hari tersebut akan menjejaskan kira-kira 9,982 pengguna berdaftar di kawasan tersebut, justeru mereka dinasihatkan agar menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan selama 12 jam.

"PBAPP memohon maaf di atas segala kesulitan sementara yang berlaku dan akan berusaha menyelesaikan kerja-kerja dan memastikan bekalan air dipulihkan mengikut jadual," katanya.

Kawasan terlibat di daerah tersebut termasuk Kampung Besar, Kampung Sungai Buaya, Kampung Sungai Kechil dan Perda Tech manakala kawasan yang mengalami gangguan tekanan air rendah ialah kawasan Transkrian, kawasan Permatang Tok Mahat, kawasan Sungai Acheh dan Jalan Sempadan. - Bernama

Artikel Berkaitan: