MEDAC lanjut moratorium tabung modal pusingan hingga November ini

Wan Junaidi - Foto Bernama
Wan Junaidi - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melanjutkan tempoh kemudahan penangguhan bayaran balik Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) sehingga November 2021.

Dalam kenyataan hari ini, MEDAC berkata, langkah itu merupakan lanjutan selama tiga bulan daripada moratorium asal yang sepatutnya berakhir pada Ogos ini.

Sehubungan itu, kutipan bayaran balik bagi pembiayaan tersebut akan dilaksanakan mulai Disember 2021.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebanyak 127 buah koperasi dengan 255 akaun pembiayaan di bawah TMPSKM telah mendapat kelulusan moratorium sebelum ini dengan anggaran kos RM8.3 juta.

“MEDAC menjangkakan kemudahan moratorium tambahan tiga bulan ini akan memberi manfaat kepada 1,053 koperasi dengan anggaran penangguhan pembiayaan berjumlah RM92.4 juta,” katanya.

Menurut beliau, tawaran penangguhan pembayaran itu turut dibuka kepada permohonan pembiayaan TMPSKM baharu yang dikemukakan sehingga 31 Julai 2021 dengan kutipan bayaran balik hanya akan dimulakan pada Januari 2022.

Wan Junaidi juga menjelaskan, proses permohonan baharu bagi kemudahan moratorium tersebut telah dipermudah dengan koperasi yang layak hanya perlu mengemukakan permohonan rasmi, penyata terimaan dan bayaran serta penyata bank bagi tempoh tiga bulan secara dalam talian.

“Bagaimanapun, tawaran moratorium adalah berbentuk sukarela yang mana impak penangguhan masa kini akan menyebabkan pelanjutan tempoh pinjaman. Koperasi perlu bersetuju untuk tempoh pinjaman dipanjangkan berikutan permohonan moratorium itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kaedah moratorium itu juga selari dengan kaedah moratorium automatik yang ditawarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu pelaksanaan penangguhan bayaran adalah melalui cek dan arahan tetap bank koperasi terbabit. - Bernama