X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

13 individu sambut hari jadi dikompaun RM26,000

Sekumpulan individu menyambut hari jadi dan tunjuk isyarat kongsi gelap ditahan dan dikompaun RM2,000 setiap seorang.
A
A

MELAKA - Tindakan merakam sambutan hari jadi sambil menunjukkan isyarat kongsi gelap akhirnya mengundang padah apabila seorang pemilik premis perniagaan perabot serta rakan-rakannya ditahan di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, di sini pada Rabu.

Kesemua 13 lelaki berusia 20 hingga 50 tahun yang ditahan itu turut dikenakan kompaun berjumlah RM2,000 setiap seorang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, perbuatan individu itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan polis berhubung satu rakaman video berdurasi tiga minit 45 saat yang memaparkan mereka berkumpul meraikan hari jadi dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, risikan polis turut mendapati di penghujung video terbabit terdapat dua lelaki menunjukkan beberapa isyarat tangan yang disyaki berunsurkan kongsi gelap ketika acara memotong kek.

"Susulan itu Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah menggerakkan Ops Cantas Khas dan berjaya menahan kesemua individu di sekitar negeri ini bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Isnin lalu antara jam 4.30 petang hingga 11.30 malam yang dianjurkan oleh pemilik premis terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, selain lain pelanggaran SOP PKP, polis juga akan menyiasat terhadap tindakan dua lelaki yang menunjukkan isyarat tangan disyaki mempunyai unsur kongsi gelap.

Beliau berkata, polis turut merampas telefon bimbit daripada salah seorang individu yang merakam kejadian terbabit dan kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah rakaman percakapan mereka diambil.

"Kita memandang serius sebarang aktiviti kumpulan kongsi gelap dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah-pesalah tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 50(3) dan Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan selain tindakan kompaun di bawah Peraturan 1966 selain kompaun di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) (PPN) 2021," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!