Menjana pekerjaan dan penjagaan anak-anak

A
A
A

MEREKA yang menonton filem Dilwale pastinya masih ingat kepada bangkai pesawat dan gua di belakang air terjun di Iceland yang menjadi lokasi penggambaran untuk adegan lagu Gerua dengan lakonan hero dan heroinnya yang begitu mempersonakan.

Namun, Iceland bukan hanya ada keindahan alam semula jadi, ia juga memiliki dasar mesra keluarga yang menjadikannya tempat tinggal yang terbaik untuk wanita.

Pada 24 Oktober 2016, theguardian.com telah menerbitkan sebuah makalah yang menceritakan tentang kehidupan wanita di Iceland. Dua perkara yang ingin penulis kongsi di sini ialah mengenai penjagaan anak dan penjagaan warga tua yang lazimnya menjadi tanggungjawab wanita.

Dari segi penjagaan anak, selepas melahirkan, wanita-wanita di Iceland boleh mengambil cuti bersalin selama tiga bulan. Apabila ibu tersebut masuk kerja, suaminya pula boleh mengambil cuti tersebut selama tiga bulan.

Sesudah itu, suami isteri ini boleh berkongsi dan bergilir-gilir mengambil cuti bergaji ini untuk menjaga anak mereka untuk tiga bulan lagi. Ini bermaksud, di Iceland, seorang bayi yang baru lahir akan dijaga oleh ibu atau bapanya di rumah untuk sembilan bulan pertama kehidupannya.

Selepas sembilan bulan, apabila kedua ibu dan bapa perlu kembali bekerja, anak-anak akan dihantar kepada pengasuh. Para ibu bapa akan diberikan subsidi untuk membayar upah pengasuh ini sehingga anak itu berusia tiga tahun. Selepas itu, anak-anak akan dihantar ke pra sekolah awam yang dibiayai oleh kerajaan sehingga berusia enam tahun.

Anak-anak di Iceland akan masuk sekolah rendah pada usia enam tahun. Selepas waktu sekolah, mereka akan dijaga di sekolah dari jam 2 petang hingga 5.15 petang. Perkhidmatan ini disediakan khas untuk kanak-kanak yang berusia 6 - 9 tahun. Ia beroperasi di setiap sekolah rendah dan kosnya ditanggung oleh ibu bapa.

Dari segi penjagaan warga tua pula, Iceland menyediakan: (a) Perkhidmatan mengemas rumah dan penghantaran makanan ke rumah warga tua yang dibiayai oleh pihak berkuasa tempatan; (b) Perkhidmatan rawatan di rumah yang disediakan secara percuma oleh pusat kesihatan komuniti; (c) Pusat jagaan harian yang menjaga warga tua yang tinggal dengan keluarga ketika anaknya bekerja; (d) Servis apartmen dengan perkhidmatan khusus termasuk merawat warga tua (biasanya milik swasta); (e) Rumah jagaan dan perawatan warga tua; dan, (f) Hospital geriatrik.

Artikel Berkaitan:

Menarik, bukan? Kemudahan-kemudahan seumpama ini adalah antara ciri-ciri utama ekonomi prihatin iaitu satu sistem ekonomi yang mengutamakan keprihatinan kepada rakyat dan alam semula jadi. Ia boleh ditemui di negara-negara seperti Finland, Norway dan Sweden yang menawarkan program-program yang disokong oleh kerajaan seperti penjagaan kanak-kanak, cuti bergaji untuk ibu bapa, dana untuk keluarga yang menjaga anak dan warga tua, dan memperuntukkan sebahagian besar dari kekayaan negaranya untuk membantu negara miskin.

Ternyata ekonomi prihatin ini, melalui kemudahan-kemudahan yang ditawarkan, ia dapat menjana pekerjaan berasaskan penjagaan (care work) kepada rakyatnya seperti menjadi pengasuh bayi dan guru di pra sekolah dan sekolah. Sektor penjagaan warga tua pula akan menjana pekerjaan seperti pengemas rumah; tukang masak makanan, perawat warga tua dan sebagainya.

Bayangkan jumlah peluang pekerjaan yang dapat dijana untuk lelaki, mahupun wanita. Inilah antara sebab mengapa ekonomi prihatin mendapat tempat di hati para pengkaji sektor buruh.

Bagi pengkaji keluarga, ekonomi prihatin mampu menyelesaikan isu “penjagaan” anak dan warga tua, apabila wanita keluar bekerja. Dengan sistem sokongan seumpama ini, ia memberi ruang dan peluang kepada wanita – yang lazimnya menanggung beban penjagaan – untuk memasuki pasaran buruh dan fokus dengan apa yang mereka boleh sumbangkan kepada majikan dan negara.

Dalam kata-kata lain, ekonomi prihatin akan memastikan penglibatan wanita di luar rumah tidak menjejaskan kualiti hidup mereka dan keluarga.

Ramai yang melihat ini sebagai “dasar mesra wanita” bagi membolehkan lebih ramai wanita memasuki pasaran kerja. Namun, sebenarnya ia adalah “dasar mesra keluarga” yang bertujuan memelihara keluarga, unit sosial yang terkecil dalam masyarakat kita.

Melalui dasar-dasar mesra keluarga, semua ahli keluarga, termasuklah warga tua – tanpa mengira jantina – akan mendapat manfaatnya. Natijahnya akan terjelma dalam peningkatan produktiviti di tempat kerja dan kualiti hidup semua ahli keluarga. Ia akhirnya akan melahirkan sebuah negara maju, bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga kualiti hidup rakyatnya.

Ekonomi prihatin didasari oleh prinsip-prinsip altruisme dan belas kasihan (compassionate) yang membawa kepada tindakan ekonomi yang dimotivasikan oleh rasa peduli dan belas kasihan kepada orang lain dan persekitarannya.

Atas prinsip-prinsip inilah maka rakyat di negara-negara tersebut sanggup membayar cukai individu dan cukai korporat yang tinggi, demi kesejahteraan bersama. IKIM akan mengadakan Persidangan Meja Bulat “Islam dan Ekonomi Prihatin” pada 20 Mac 2019 bagi mengulas tajuk ini dengan lebih lanjut.

* Siti Fatimah Abdul Rahman ialah Felow Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)