40 buah rumah rosak dipukul ribut, hujan batu

Siti Minah (kiri) dan Harmizah menunjukkan bumbung rumah mereka tercabut diterbangkan angin kencang.
Siti Minah (kiri) dan Harmizah menunjukkan bumbung rumah mereka tercabut diterbangkan angin kencang.
A
A
A

PASIR PUTEH - Rumah seorang ibu tunggal antara 40 buah rumah yang rosak dipukul ribut dan hujan batu dalam kejadian di enam buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan di sini pada Rabu.

Kejadian sekitar jam 6 petang itu menyebabkan bumbung rumah penduduk tercabut diterbangkan angin kencang yang datang bersama hujan batu.

Antara kampung terlibat ialah Pangkalan, Sungai Rasau, Wakaf Bunut, Nara, Hutan Jering dan Bukit Gedombak.

Seorang ibu tunggal dari Kampung Nara, Siti Mariam Zakaria, 39, berkata, semasa kejadian dia berada di kedai runcit untuk membeli barangan bagi membuat kuih.

"Semasa sedang membuat pembelian, saya dikejutkan dengan panggilan daripada salah seorang anak yang memaklumkan bumbung rumah tercabut dipukul ribu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Menurutnya, bukan itu sahaja anak Norsyazma Erniy Mohd Asri, 19, memaklumkan dia bersama tiga lagi adik terperangkap di dalam rumah tersebut.

Katanya, terkejut menerima perkhabaran itu dia bersama anak bongsu Nor Ezara Syazwina, 4, terus bergegas pulang ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Siti Mariam dan anaknya menunjukkan keadaan di hadapan rumah mereka yang rosak teruk selepas kejadian ribut yang melanda pada Rabu.
Siti Mariam dan anaknya menunjukkan keadaan di hadapan rumah mereka yang rosak teruk selepas kejadian ribut yang melanda pada Rabu.

Siti Mariam berkata, dia lega apabila semua anak-anaknya itu terselamat dalam kejadian tersebut.

"Ekoran kejadian itu, bukan sahaja rumah kami rosak teruk tetapi saya hilang punca pendapatan apabila kesemua barangan dan peralatan membuat kuih rosak," katanya.

Seorang lagi mangsa Siti Minah Mamat, 65, dari Kampung Hutan Jering berkata, sejurus kejadian ribut itu berlaku dia terus keluar ke rumah anaknya yang terletak bersebelahan.

"Anak saya Harmizah Hamzah, 39, memberitahu, dia melihat bumbung rumah diterbangkan angin.

"Bumbung itu kemudian telah jatuh di kawasan rumah Harmizah," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah berkata, pihaknya telah turun padang untuk membuat tinjauan berhubung kejadian itu.

"Sumbangan wang 'one- off' telah disumbangan kepada beberapa keluarga terlibat.

"Baki selebihnya akan diagihkan dalam masa terdekat," katanya.