Pemain Itali jadi punca kes Covid-19 di Rom meningkat

Pasukan Itali yang muncul juara Euro diraikan dalam sambutan di Rom baru-baru ini.
Pasukan Itali yang muncul juara Euro diraikan dalam sambutan di Rom baru-baru ini.
A
A
A

PETUGAS kesihatan Itali menyalahkan pemain pasukan Gli Azzurri yang memenangi Euro 2020 baru-baru ini sebagai punca peningkatan kes Covid-19 di Rom.

Pasukan Itali diraikan dalam satu sambutan di kota Rom dengan menggunakan bas dan turut dihadiri oleh ribuan penduduk di sepanjang jalan di kota raya itu sehari selepas kemenangan ke atas England dalam penentuan penalti pada final Euro 2020.

Ketua kesihatan daerah di Lazio, Alessio D’Amato meletakkan kesalahan itu di bahu Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina dan pemain Itali walaupun amaran peningkatan kes telah diberikan sekiranya sambutan tersebut tetap dilaksanakan.

"Semua orang membayar harga yang mahal dengan peningkatan kes namun bernasib tanpa komplikasi di hospital.

"Kami pasti akan melihat lebih banyak kes akibat perayaan Kejuaraan Eropah itu dan peningkatan ini akan berlanjutan selama beberapa hari lagi.

"Sebilangan besar kes positif baru adalah orang muda yang belum divaksinasi, sehingga menunjukkan sekali lagi pentingnya vaksinasi ini," katanya.

Sebanyak 681 kes baharu Covid-19 direkodkan di Rom pada Selasa peningkatan mendadak berbanding hanya 164 kes sebelum sambutan wira Euro tersebut diadakan.

Dalam pada itu, pemimpin kerajaan tempatan, Matteo Piantedosi menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan selain membiarkan perarakan itu diadakan setelah orang ramai berkumpul di sepanjang laluan.

Artikel Berkaitan:

"Kami telah menolak kebenaran untuk meraikan kemenangan Itali pada Euro 2020 dengan bas, tetapi ia tidak diendahkan," katanya.