Minat e-sukan dorong Saiful juarai SPRM FIFA 21 Challenge

Muhammad Saiful menjuarai SPRM FIFA 21 Challenge.
Muhammad Saiful menjuarai SPRM FIFA 21 Challenge.
A
A
A

MINAT yang mendalam dalam e-sukan, akhirnya memberikan pulangan berharga buat penuntut Kolej Komuniti, Muhammad Saiful Muqit, 22 apabila muncul juara Kejohanan e-sukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) FIFA 21 Challenge.

Muhammad Saiful yang mewakili pasukan Pulau berkata, sebelum ini dia telah pun menyertai beberapa pertandingan termasuk di peringkat kebangsaan.

Malah katanya, dia pernah memenangi wang tunai berjumlah RM3,000 apabila muncul juara dalam satu pertandingan FIFA 2020 anjuran sebuah syarikat televisyen swasta pada 2020.

“Saya memang meminati e-sukan dan mengetahui mengenai kejohanan SPRM FIFA 21 Challenge ini dari laman sosial facebook.

“Sebelum ini saya telah pun menyertai beberapa pertandingan termasuk beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan.

“Bagaimanapun, semasa menyertai Kejohanan e-sukan SPRM FIFA 21 Challenge ini, saya turut didedahkan dangan banyak info menarik terutamanya mengenai salah laku rasuah selain bagaimana kita boleh melaporkan rasuah dengan mudah menerusi aplikasi dalam talian MACCMobile,” katanya.

Muhammad Saiful muncul juara pada kejohanan yang diadakan secara dalam talian itu dengan mengetepikan cabaran melibatkan 2,048 peserta dari 13 negeri termasuk tiga dari Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur/ Putrajaya/ Labuan).

Naib juara pula dimenangi Muhammad Adli Ilias dari Wilayah Persekutuan Putrajaya yang meraih RM3,000 manakala Muhammad Imran Shareme mewakili Melaka menduduki tempat ketiga (RM2,000).

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Kejohanan SPRM FIFA 21 Challenge yang dianjurkan mulai 1 Julai lalu adalah hasil cetusan idea Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dalam usaha mendekati kumpulan belia terutamanya peminat e-Sukan.

Difahamkan, SPRM turut menggunakan platform berkenaan sebagai medium bagi menyampaikan mesej terhadap salah laku rasuah, sekali gus memupuk sikap antirasuah dalam kalangan masyarakat.

Secara keseluruhannya, kejohanan yang bertemakan Belia Menentang Rasuah dan diadakan secara dalam talian itu telah disertai 2,048 atlet e-sukan.

Ia juga sekali gus ia dilihat sebagai kesinambungan program PUBG Mobile i-Challenge yang pernah dianjurkan oleh SPRM sebelum ini bagi mendekati kumpulan belia yang meminati e-sukan.