X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita Indonesia guna MyKad palsu didenda RM14,000

Tertuduh (kiri) mengaku bersalah dan didenda RM14,000 untuk dua pertuduhan memiliki dan menggunakan MyKad palsu.
A
A

GEORGETOWN - Seorang pekerja sosial sebuah motel warganegara Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu.

Zhiehara Toding, 22, mengaku bersalah ke atas kesemua pertuduhan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret R Manomani.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan denda sebanyak RM14,000 terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan aplikasi MySejahtera di atas nama orang lain iaitu Norsyarifah Musin sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 24 Jun hingga 12 Julai lalu di bandar ini.

Manomani mengenakan denda RM6,000 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, dia boleh dihukum penjara tiga bulan.

Sementara itu, untuk pertuduhan kedua, wanita tersebut dituduh dengan sengaja memiliki kad pengenalan palsu atas nama Ziehara Boisi sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Desa Pinang 2, Lebuh Sungai Pinang 7 di sini antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 17 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, mahkamah menetapkan denda sebanyak RM8,000 dan jika gagal bayar, tertuduh boleh dipenjara selama empat bulan.

Zhiehara yang telah menetap di negara ini sejak lima tahun lalu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum mengikut peraturan sama.

Kes dikendalikan Pegawai pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Azry Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Pengarah JPN Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, sebanyak 11 pertuduhan membabitkan kesalahan MyKad palsu telah dibawa ke mahkamah sehingga Jun tahun ini.

Katanya, jumlah itu termasuk dua yang didakwa pada hari ini (Khamis).

"Sepanjang tahun lalu, hanya sembilan membabitkan kes sama didakwa di mahkamah. Ini menunjukkan berlaku peningkatan kerana sehingga Jun tahun ini, kita sudah mencatatkan sebanyak 11 kes.

"Sementara itu, sepanjang tahun lalu sehingga Jun tahun ini, kita telah menahan 25 individu melibatkan kesalahan MyKad palsu menerusi 21 operasi yang dijalankan.

"25 individu itu membabitkan 16 warga asing manakala bakinya adalah warga tempatan. Bagi warga tempatan, kebanyakannya melibatkan kesalahan seperti pendaftaran palsu untuk sijil kematian," katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Georgetown pada Khamis.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!