Vaksin Covid-19: JSJK terima 38 laporan libat kes perdaya mangsa

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menerima 38 laporan polis berkaitan kes sindiket memperdaya mangsa dengan menggunakan isu penjualan vaksin Covid-19 yang melibatkan kerugian berjumlah RM54,500.

Pengarah Jabatan Siasatan Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya mengesan modus operandi baharu yang digunakan oleh sindiket berkenaan.

"Mangsa akan dihubungi oleh sindiket yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan memaklumkan bahawa mangsa akan dikenakan tindakan kerana didapati telah menjual vaksin Covid-19 dalam talian melalui laman Facebook.

"Mangsa yang panik dengan dakwaan tersebut kemudiannya akan menuruti semua arahan yang diberikan sehingga akhirnya membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mohd Kamarudin berkata, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan.

"Sindiket dilihat mengambil kesempatan dengan memanipulasi isu semasa untuk mengaut keuntungan dengan cara yang salah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengesahkan sehingga kini, empat laporan polis telah diterima berkait isu vaksin Covid-19.

"Tiga daripada laporan polis tersebut adalah berkenaan dakwaan wujudnya aktiviti penipuan penjualan vaksin Covid-19 kepada orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Satu laporan polis adalah berkenaan isu penambahan jumlah penerima vaksin Covid-19 di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga melebihi jumlah vaksin yang dibekalkan," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, seramai lapan individu telah ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan berkait kes-kes tersebut.

"Kesemua mereka telah pun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dijalankan," katanya.

Beliau berkata, satu daripada siasatan kes-kes tersebut telah pun selesai.

"Pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan setelah siasatan mendapati tiada bukti serta keterangan yang mencukupi untuk menuduh suspek-suspek terlibat. Baki tiga lagi kertas siasatan masih dalam siasatan," katanya.

Mohd Kamarudin, pihaknya menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan siasatan kes-kes ini.

"Kita sentiasa komited untuk memastikan siasatan dijalankan dengan adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang-undang," katanya.