Sabah dijadual terima lebih sejuta dos vaksin Covid-19 pada Julai

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah dijadual menerima lebih satu juta dos vaksin Covid-19 pada Julai, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap rasmi kerajaan Sabah berkenaan Covid-19 berkata, untuk bulan ini Sabah telah menerima 747,980 dos vaksin itu setakat ini termasuk penghantaran terbaharu 152,100 dos yang telah sampai ke sini pada petang Rabu.

Masidi berkata, mengikut jadual penghantaran Sabah akan menerima 30,000 dos vaksin Covid-19 pada Jumaat dan satu lagi bekalan vaksin dalam kuantiti yang besar iaitu 308,880 dos dijangka sampai pada 28 Julai.

“Kita mengharapkan tidak ada lagi gangguan ke atas penghantaran bekalan vaksin bagi Ogos dan seterusnya, ini akan membolehkan kita meningkatkan kadar vaksinasi bagi penduduk Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 8 Julai lepas, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dilaporkan sebagai berkata, Sabah dijangka menerima 2.2 juta dos vaksin Covid-19 pada bulan ini dan awal bulan depan (Ogos) bagi melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). - Bernama

Artikel Berkaitan: