X

Kindly register in order to view this article
!

'Saya akan jaga hingga hujung nyawa'

Nor Hasnah (berdiri, kiri) setia menjaga abang dan kakak-kakaknya yang OKU.
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita sanggup mengorbankan masa depannya demi menjaga dua kakak serta seorang abangnya berstatus orang kurang upaya (OKU) sejak tujuh tahun lalu.

Nor Hasnah Mohd Isa, 59, cekal menjaga dua kakaknya, Sharipah, 67, dan Noorsham, 64 serta abangnya, Mohd Ghazali, 62, sendirian sejak kematian ayah dan ibunya pada 2014.

Menurut Nor Hasnah, walaupun hidup serba kekurangan, namun amanah arwah ibunya yang memintanya menjaga kakak dan abangnya perlu dilaksanakan dengan sempurna.

Nor Hasnah berkata, sebelum ini dia pernah bekerja di sebuah kilang di Senawang, namun terpaksa berhenti kerja untuk mengalas tanggungjawab menjaga kakak-kakak dan abangnya.

Nor Hasnah
Nor Hasnah

Katanya, dia kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta Baitulmal untuk menampung kos harian.

"Kalau saya keluar kerja, tidak ada orang yang akan jaga mereka, jadi saya terpaksa berkorban untuk jaga mereka semua.

"Keperluan dapur biasanya diperoleh daripada sumbangan persatuan NGO khususnya Persatuan Badan Amal Kebajikan Al Baasith yang akan menghantarnya pada setiap bulan.

"Bil air dan elektrik pula, kalau sudah banyak tertunggak, saya akan minta bantuan dengan Tok Mat (ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan), biasanya Tok Mat akan bayarkan," katanya.

Nor Hasnah ditemui pemberita selepas menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian sempena Aidiladha di rumahnya di Kampung Belangkan, Jalan Rantau di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, menurut Nor Hasnah, bagi meneruskan kehidupan, dia kini membela ayam yang disumbangkan oleh Baitulmal Negeri Sembilan.

Persatuan Amal dan Kebajikan Al Baasith dan pengurusan syarikat Mahsuri Food menyampaikan sumbangan dapur sempena Aidiladha pada Selasa.
Persatuan Amal dan Kebajikan Al Baasith dan pengurusan syarikat Mahsuri Food menyampaikan sumbangan dapur sempena Aidiladha pada Selasa.

Dia berkata, ayam-ayam itu nanti akan dijual bagi menambah pendapatan keluarga atau untuk dijadikan keperluan makanan mereka sendiri.

"Tanggungjawab menjaga dua kakak dan abang yang menghidap penyakit mental dan Sharipah yang turut menghidap kanser payu dara, saya tanggung sepenuhnya.

"Susah bagaimana sekalipun, tanggungjawab itu perlu dilaksanakan. Saya sanggup melupakan hasrat untuk berkahwin demi menjaga abang dan kakak saya kerana itu amanah arwah mak kepada saya," katanya.

Nor Hasnah berkata, perkahwinan bukan menjadi keutamaan sebaliknya menjaga saudara kandungnya sehingga akhir hayat itu adalah lebih penting.

Jelasnya, dia sentiasa berdoa supaya diberikan kesihatan yang baik bagi membolehkannya menguruskan kakak dan abangnya sehingga ke hujung nyawa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!