Kes bunuh: Suami, isteri warga Indonesia ditahan

Mohamad Zainal
Mohamad Zainal
A
A
A

PARIT - Polis menahan sepasang suami isteri warga Indonesia bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki pekerja pembinaan, 18 tahun lalu.

Suspek berusia 50 tahun dan isterinya, 49 tahun diberkas di hadapan rumah sewa mereka di Sungai Dusun Hulu Selangor, Selangor pada jam 8.45 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mayat lelaki warga Indonesia, Rebin Sumadi Suwoko, 32, ditemukan di tapak projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah kira-kira jam 5.45 pagi pada 14 Ogos 2001.

"Mangsa ditemui dengan kesan tetakan senjata tajam di kanan leher, belakang pinggang, dan kaki. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan peparu kesan tetakan," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kejadian itu disebabkan rasa curiga dan cemburu suspek ke atas seorang lelaki Indonesia yang dikenali sebagai Agus yang menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya.

"Suspek bersama beberapa rakannya yang datang dari Kuala Lumpur telah pulang ke rumah isterinya di rumah kongsi di tapak pembinaan terbabit untuk mencari lelaki terbabit tetapi gagal.

"Mangsa yang berada di lokasi cuba menerangkan kedudukan lelaki yang dicari itu tetapi suspek bertindak menyerangnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Zainal berkata, bertindak atas risikan Bahagian Siasatan Jenayah, kedua-dua suspek berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Perak Tengah untuk siasatan lanjut.