Covid-19 buka mata rakyat menilai kesungguhan pemimpin negara

Hussamuddin ditemubual oleh pengacara program Rozina Aziz dan Rizal Zulkapli
Hussamuddin ditemubual oleh pengacara program Rozina Aziz dan Rizal Zulkapli
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai seharusnya menjadikan tempoh setahun setengah Covid-19 yang membadai negara sebagai waktu terbaik menilai tahap kesungguhan barisan kepimpinan menguruskan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pandemik Covid-19 seharusnya membuka mata orang ramai untuk menilai dan memilih barisan pemimpin yang tepat pada masa hadapan.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf berkata, orang ramai selama ini dibuai dengan bantuan-bantuan diberikan secara terus oleh individu-individu tertentu demi kepentingan politik masing-masing.

“Tetapi apabila wabak Covid-19 berlaku, golongan daripada parti politik ini gagal memberi bantuan terus daripada parti masing-masing.

“Maka tibalah masa untuk orang ramai menilai adakah pemimpin-pemimpin yang mereka pilih ini mampu membela nasib rakyat terutama ketika mana rakyat begitu terkesan dengan berlakunya wabak Covid-19,” katanya pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, kerja-kerja menyalurkan bantuan seharusnya dilakukan oleh kerajaan atau digerakkan oleh agensi kerajaan sendiri kepada golongan yang terjejas.

Menurutnya, pejabat-pejabat kerajaan, pusat kebajikan serta badan agama di bawah kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing secara sepenuhnya dan bukannya membiarkan bantuan disalurkan oleh pihak parti politik sahaja.

Untuk itu katanya, rakyat yang berintegriti akan pastinya memilih barisan kepimpinan berintegriti tinggi, malah tidak menjualkan undi mereka kepada yang tidak layak.

Artikel Berkaitan:

“Covid-19 menyedarkan kita sebagai orang ramai untuk memilih pemimpin yang betul-betul mempunyai integriti tinggi bagi memimpin negara.

“Malah pada tempoh pandemik ini juga, rakyat boleh berfikir sejauh mana integriti yang ada pada diri masing-masing tatkala mudah menjual undi mereka kepada golongan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.