WX-R pacu tenaga Jijoe

Azizulhasni bersama basikal RM13 juta yang akan digunakan pada Tokyo 2020. FOTO: IG Azizulhasni
Azizulhasni bersama basikal RM13 juta yang akan digunakan pada Tokyo 2020. FOTO: IG Azizulhasni
A
A
A

PERSIAPAN jaguh lumba basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang untuk memburu kilauan emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 berada pada tahap paling sempurna.

Pengurus skuad basikal trek negara, Datuk Ashakari Abu Noor berkata, Azizulhasni dan rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kini sudah bersedia menggegar Velodrom Izu selepas dibekalkan basikal versi akhir model WX-R Vorteq.

“Kami adakan pertemuan dan perbincangan ringkas hari ini. Dalam pertemuan itu, Azizulhasni tegaskan betapa inilah kem latihan paling sempurna untuk beliau. Azizulhasni dan Shah Firdaus juga tidak dibelenggu sebarang masalah kesihatan.

“Sebagai pengurus pasukan, saya melihat senario itu sebagai satu petanda positif kepada Azizulhasni, Shah Firdaus dan skuad basikal trek negara secara keseluruhan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Dalam pertemuan tersebut, Ashakari yang pernah menjadi pengurus pasukan ke Sukan Asia 2014 ketika Azizulhasni menggondol pingat emas, turut menyerahkan sumbangan bernilai lebih RM20,000 kepada skuad basikal trek negara yang bakal berlepas ke Tokyo pada Ahad ini.

“Datuk Alvin Lim (Pengarah Urusan Harp Tech Solution (M) Sdn Bhd) secara peribadi memberi sumbangan wang tunai bernilai lebih RM20,000, barangan cenderahati dan alat kelengkapan sukan yang akan akan dimanfaatkan sepenuhnya skuad basikal trek negara ketika berada di Tokyo nanti,” katanya.

Alvin menjelaskan, beliau memberi sumbangan kepada skuad basikal trek negara kerana mengharapkan Azizulhasni akan pulang bersama kilauan pingat emas Sukan Olimpik yang pertama kepada kontinjen Malaysia.

“Dulu saya sangat meminati Datuk Lee Chong Wei. Saya sentiasa kagum dengan keazaman beliau untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik. Kini, saya melihat Azizulhasni sebagai atlet yang sangat berkemampuan untuk menyempurnakan misi membawa pulang pingat emas,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Azizulhasni atau lebih terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman merupakan pelumba trek pertama negara yang mengucup pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Ia merupakan penampilan ketiga Azizulhasni secara merit pada temasya Sukan Olimpik selepas edisi London 2012 dan Rio 2016 manakala Shah Firdaus tampil buat kali pertama di pentas sukan paling berprestij di dunia itu.