X

Kindly register in order to view this article
!

'Cabaran tiga sukan sandaran Tokyo 2020 berbeza-beza'

Stadium Olimpik, Tokyo antara venue temasya Tokyo 2020. FOTO: AFP Gambar kecil: ZOLKPLES
A
A

TIGA sukan iaitu badminton, berbasikal trek dan terjun yang menjadi sandaran meraih pingat emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, masing-masing mempunyai peluang dan cabaran berbeza.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata ketiga-tiga sukan itu yang telah mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, sebelum ini sering menjadi harapan menyumbang pingat di temasya sukan dunia itu.

Namun, dengan cabaran serta kekangan dalam persediaan atlet sepanjang tempoh pandemik Covid-19, Zolkples berpendapat berbasikal trek menerusi jaguh negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memiliki peluang lebih cerah membawa pulang pingat emas berbanding badminton dan terjun.

Di Tokyo, beliau melihat Mohd Azizulhasni, 33, mempunyai peluang lebih baik dalam acara keirin berbanding pecut, namun juara dunia keirin 2017 itu tetap akan menerima tentangan sengit terutama dari Great Britain menerusi juara Olimpik enam kali Jason Kenny.

Beliau berkata keinginan Kenny yang meraih emas acara keirin dan pecut di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro untuk mengatasi rekod legenda berbasikal trek Great Britain Chris Hoy yang turut mengumpul enam pingat emas Olimpik pasti menambah darjah kesukaran dihadapi Mohd Azizulhasni.

“Kita juga jangan lupa saingan pelumba dari Australia, Belanda, Perancis dan New Zealand. Jadi ia bukan mudah tetapi tidak mustahil.

“Tambahan Mohd Azizulhasni sudah diuar-uarkan dengan basikal bernilai RM13 juta, sudah tentu rakyat nak tengok sama ada pelaburan itu berbaloi atau tidak,” katanya yang berharap Malaysia dapat memperbaiki catatan empat perak dan satu gangsa di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Mohd Azizulhasni yang memenangi pingat gangsa acara keirin di Rio akan menggunakan basikal model WX-R Vorteq, yang dibangunkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta di antara Institut Sukan Negara (ISN) dan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Isnin menetapkan sasaran tiga pingat yang satu daripadanya emas kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo dengan sukan badminton, berbasikal trek dan terjun menjadi sandaran utama dalam misi itu.

Pada masa sama, Zolkples berkata kekangan pandemik Covid-19 yang menjejaskan penyertaan atlet negara di kejohanan antarabangsa, selain kekurangan data mengenai prestasi semasa pasukan China memberikan cabaran besar kepada skuad badminton di Tokyo.

Menyedari tumpuan meraih pingat emas dalam acara badminton kepada perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, Zolkples berkata juara All England 2021 berusia 23 tahun itu bakal berdepan tugas getir selepas tidak diuji berdepan lawan sebenar menjelang temasya berprestij itu.

"Semua teruja dengan Zii Jia disebabkan beliau menang Seluruh England, tetapi kita jangan lupa banyak kejohanan yang beliau menang dalam persediaan ke Olimpik tidak disertai ramai jaguh dunia terutama dari China. Jadi kita tak tahu kekuatan mereka macam mana," katanya.

Zolkples berkata, tugas getir Zii Jia di Tokyo bermula seawal pusingan kumpulan dengan beliau tidak boleh mengambil mudah cabaran lawan terutama pemain Perancis, Brice Leverdez yang berpeluang menjadi 'pembunuh gergasi' selepas pernah menewaskan legenda negara Datuk Lee Chong Wei.

Sementara itu, beliau berkata sukan terjun turut berdepan nasib sama seperti badminton selepas kurang menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa, dengan peluang merangkul pingat dalam acara terjun lebih cenderung dalam acara seirama berbanding individu.

"Sebab bagi acara terjun seirama, China hanya boleh letak satu pasangan, kalau mereka menang pingat emas peluang untuk (kita) meraih perak dan gangsa lebih terbuka berbanding dalam acara individu apabila mereka dibenarkan letak dua penerjun," tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan kesemua 30 atlet negara yang akan beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan pada temasya yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos itu mampu memperbaiki catatan terbaik sekali gus meraih kejayaan cemerlang dalam acara masing-masing.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!