Aidiladha ketika Covid-19 melonjak di Indonesia

Penduduk Muslim bersolat sunat Hari Raya Aidiladha di luar sebuah masjid di Jakarta pada Selasa lalu. - Foto AFP
Penduduk Muslim bersolat sunat Hari Raya Aidiladha di luar sebuah masjid di Jakarta pada Selasa lalu. - Foto AFP
A
A
A

SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha di Indonesia pada Selasa diraikan dalam suasana yang amat berbeza berbanding pada tahun lalu selepas kes Covid-19 melonjak dengan cepat disebabkan oleh penularan varian Delta.

Sejumlah masjid tidak mengadakan solat sunat Aidiladha berikutan kes pandemik yang tinggi manakala penyembelihan lembu dan kambing tidak diadakan di beberapa daerah di negara itu.

Baru-baru ini, Indonesia mengatasi India dan Brazil sebagai negara yang menyebarkan Covid-19 dan kes kematian akibat pandemik itu mencatatkan rekod kepada 1,338 orang pada Isnin lalu.

Di Jakarta dan di mana-mana lokasi di Pulau Jawa, orang ramai diminta tidak pergi bersolat di dalam masjid-masjid.

Sebaliknya, umat Islam membentangkan sejadah untuk bersolat sunat hari raya itu dekat sebuah masjid di Jakarta dan tidak memasukinya.

Kebanyakan kes Covid-19 berlaku di Pulau Jawa mempunyai bilangan penghuni yang padat iaitu lebih separuh daripada 270 juta penduduknya yang tinggal di situ.

Pihak berkuasa Indonesia telah mengharamkan aktiviti-aktiviti yang menarik kehadiran ramai orang pada masa sambutan Hari Raya Aidiladha itu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa masih membenarkan solat sunat Aidiladha di beberapa lokasi dikategorikan hijau atau mempunyai kes Covid-19 yang rendah seperti Masjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh.

Artikel Berkaitan:

Di masjid itu, ramai penganut Islam yang tidak memakai pelitup muka ketika mereka bersolat sunat Hari Raya Aidiladha.

Sejumlah umat Islam bersolat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Raya Baiturrahman di Banda aceh pada Selasa lalu. - Foto AFP
Sejumlah umat Islam bersolat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Raya Baiturrahman di Banda aceh pada Selasa lalu. - Foto AFP

Jangkitan Covid-19 di Indonesia yang mempunyai bilangan penduduk Islam paling ramai di dunia itu adalah terlalu tinggi pada minggu lalu dengan kes harian pandemik tersebut dilaporkan lebih 50,000 pada setiap hari.

Pada petang Rabu lalu, kes keseluruhan Covid-19 di Indonesia ialah 2.95 juta manakala seramai 2.32 juta orang pulih daripada jangkitan pandemik itu tetapi lebih 72,000 orang yang meninggal dunia.

Namun, berikutan gelombang Delta yang 'mengganas' di Indonesia, pasukan tindakan khas Covid-19 mengeluarkan arahan khas yang melarang semua pergerakan orang awam, solat berjemaah, lawatan keluarga dan perhimpunan di seluruh Pulau Jawa serta Bali.

Perintah 'lockdown' dilaksanakan di 15 buah bandar raya dan daerah di luar dua buah pulau yang merekodkan peningkatan tinggi kes Covid-19.

Kerajaan negara itu sebelum ini melaksanakan sekatan kecemasan sejak 3 Julai lalu di Pulau Jawa dan Pulau Bali dengan mengehadkan pengembaraan tidak penting dan

perhimpunan serta menutup pusat-pusat beli belah, tempat keagamaan dan pusat-pusat hiburan.

Namun, Presiden Indonesia, Joko Widodo melanjutkan lagi perintah lockdown sehingga 25 Julai ini selepas ia sepatutnya berakhir pada Selasa lalu.

Polis pula menetapkan pusat-pusat pemeriksaan di lebuh raya dan melakukan sekatan di jalan-jalan utama untuk kenderaan-kenderaan tidak penting, penerbangan dalam negeri dan perkhidmatan lain-lain jenis pengangkutan digantung menyukarkan orang ramai daripada melakukan kunjungan terhadap saudara-mara.

"Ini adalah tidak adil, tetapi kami perlu mengikut (peraturan) demi kebaikan orang ramai," kata seorang kakitangan awam di Jakarta, Eka Cahya Pramata kepada AFP sambil berkata beliau kehilangan ramai saudara-mara kerana Covid-19.

Peningkatan kes Covid-19 di Indonesia itu adalah disebabkan oleh perayaan Hari Raya Aidilfitri pada Mei lalu apabila ramai penduduk pulang ke kampung-kampung dan juga berpunca daripada varian Delta dari India yang menular di negara tersebut.

Hospital-hospital pula mengalami masalah kekurangan oksigen manakala sejumlah lagi pesakit meninggal dunia ketika mengasingkan diri di rumah masing-masing manakala ramai lagi menunggu untuk dirawat akibat Covid-19. - Agensi