Ambil teladan, semangat di sebalik kisah Nabi Ibrahim

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO perlu mengambil teladan dan semangat di sebalik kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan menterjemahkan semula dalam parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perjuangan parti itu bermula dengan semangat sedemikian apabila ramai berkorban kebahagiaan dan kesenangan hidup dalam membina masa depan yang lebih baik untuk negara ini.

"Ramai sekali yang berpulang tanpa pernah menikmati hidup yang lebih baik dan lebih senang serta bahagia. Namun Malaysia yang mereka perjuangkan dan mereka tinggalkan, telah jadi lebih baik dan lebih berjaya.

"UMNO yang lebih baik dan lebih maju hanya akan terbit dari semangat sebegini. Mengorbankan hari senang kita, kedudukan dan segala keenakan kuasa, demi parti yang lebih dihormati dan kalis masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup menurut perintah menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana taat kepada perintah ALLAH SWT bukan sahaja perlu dihayati tetapi perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.

Katanya, ini kerana kehidupan menuntut pelbagai pengorbanan kerana kehidupan adalah sebenarnya perjuangan.

Menurutnya, saban tahun sambutan Aidiladha menyaksikan kisah berkenaan menjadi penceritaan di mimbar masjid sahaja.

"Berjuang untuk sesuap nasi setiap hari, berjuang untuk kehidupan lebih baik, berjuang melawan penyakit dan segala bentuk perjuangan lain. Dalam politik jua, ramai yang namanya berjuang tetapi entah apa yang ia perjuangkan tidak ketahuan.

Artikel Berkaitan:

"Adakah memperjuangkan kepentingan sebenar negara atau memperjuangkan agar kemaslahatan bangsa dirungkai agar terbit lebih banyak pembaikan atau sekadar memperjuangkan kedudukan kita kerana enaknya kita dibuai dengan kuasa dan limpahan kenikmatan," soalnya.

Tambah beliau, sunnah berjuang adalah berkorban dengan sebenar-benarnya dituruti dengan sifat ikhlas dan selalunya menuntut mengorbankan kebahagiaan hari ini demi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.