Saya lebih rela masuk mahkamah daripada PN, kata Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak gentar sebaliknya memberi gambaran beliau bersiap sedia untuk menghadapi sebarang pertuduhan jenayah terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut beliau, yakin kebenaran akan sentiasa berlaku dan beliau mengambil pendekatan berani kerana benar.

Ahli Parlimen Muar itu juga berkata, pada saat-saat seperti ini ia mengingatkannya mengapa beliau menyertai politik.

“Bring it on! Saya lebih rela masuk mahkamah daripada masuk (sertai) Perikatan Nasional (PN).

“Jumpa di Mahkamah Kuala Lumpur esok jam 8 pagi dan Live Facebook / Instagram jam 8 malam untuk pendedahan saya,” katanya sebelum mengakhiri kenyataan dengan #Lawan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas menteri bakal didakwa esok

Duit hilang RM250,000 bukan milik Bersatu: Syed Saddiq

Menerusi video di laman sosial Facebooknya, Syed Saddiq juga berkata, jika beliau tidak menyertai PN, beliau diugut untuk didakwa sejak setahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, setiap kali adanya undi penting di Parlimen, ugutan itu hadir pada Julai, Disember, Januari dan kini seminggu sebelum Parlimen bersidang.

Menerusi video berdurasi 53 saat itu, kenyataan serta video yang dimuat turun 30 minit lalu mendapat pelbagai reaksi netizen dengan 1,800 tanda suka; 322 komen dan 293 perkongsian.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang bekas menteri akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis berkaitan penyelewengan dana lebih RM1 juta.

Mengikut sumber, bekas menteri itu berdepan dua pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah.

Kata sumber, jumlah keseluruhan penyelewengan dikatakan berjumlah RM1.12 juta milik sebuah parti politik, ketika beliau menjawat jawatan sebagai ketua pemuda.