Sabah catat dua kluster baharu tempat kerja

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah merekodkan dua kluster baharu hari ini membabitkan jangkitan di tempat kerja iaitu Kluster Sawit Lung di Beluran dan Kluster Industri KKIP Selatan di sini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Menurut beliau, Kluster Sawit Lung melibatkan jangkitan 15 kes kumulatif berpunca daripada seorang pekerja lelaki berusia 35 tahun yang bukan warganegara sebelum dikesan positif melalui saringan masuk ladang pada 14 Julai lepas.

"Seramai tiga lagi rakan sekerja kes indeks dikesan positif dan daripada 40 kontak yang disaring, 11 kontak dikesan positif melibatkan rakan sekerja serta ahli keluarga," katanya menerusi kenyataan malam Rabu.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah memberitahu, Kluster Industri KKIP Selatan melibatkan jangkitan 12 kes kumulatif dan kes indeks pula adalah seorang lelaki berumur 20 tahun disahkan positif Covid-19 pada 12 Julai lepas.

Kata beliau, kes indeks bekerja sebagai operator di sebuah kilang plastik mula bergejala pada 9 Julai dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk rawatan lanjut.

"Sebanyak lapan kes dikesan di Kota Kinabalu, manakala di Tuaran sebanyak empat kes positif dikesan menjadikan 12 kes kumulatif kes ini," ujarnya.

Sementara itu, Sabah kata beliau mencatat 474 kes positif Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 76,927 kes, manakala 311 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 72,059 orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: