Operasi pejabat kerajaan dijalankan mengikut Fasa PPN: KSN

Kenyataan akhbar oleh Mohd Zuki pada Rabu.
Kenyataan akhbar oleh Mohd Zuki pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tahap pengoperasian pejabat kerajaan akan dijalankan mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 26 Julai ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurut beliau, ia sejajar pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan bersetuju dengan perubahan kadar peratusan kehadiran ke pejabat bagi sektor awam dengan mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, ketua jabatan perlu menentukan kehadiran pegawai yang diperlukan di pejabat mengikut arahan yang telah ditetapkan bagi tujuan mengoptimumkan perkhidmatan kerajaan.

“Pelaksanaan bekerja dari rumah hendaklah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah.

“Ketua Jabatan juga perlu memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi pada setiap masa untuk mencegah penularan wabak Covid-19 di pejabat masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengikut lampiran yang dikongsikan oleh Mohd Zuki, kesemua pekerja di pejabat kerajaan di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan bekerja dari rumah kecuali petugas barisan hadapan dengan kaunter perkhidmatan ditutup sepenuhnya.

Pejabat kerajaan yang berada di Fasa Satu PPN pula, kadar kehadiran maksimum di tempat kerja adalah 40 peratus dengan kaunter perkhidmatan akan beroperasi pada kadar 50 peratus dengan kehadiran pelanggan melalui temu janji.

Kehadiran pekerja di pejabat kerajaan yang berada di Fasa Dua PPN berada pada kadar maksimum 60 peratus dengan operasi di kaunter perkhidmatan dibuka pada kadar 60 peratus dengan pelanggan perlu terlebih dahulu melakukan janji temu.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya, Fasa Tiga PPN menetapkan kehadiran maksimum pekerja di pejabat pada kadar 80 peratus dengan kaunter operasi berkhidmat pada kadar 80 peratus dan pelanggan boleh hadir tanpa janji temu.

Bagi Fasa Empat PPN pula, kesemua pekerja dibenarkan hadir di pejabat dan aktiviti bekerja dari rumah hanya dibenarkan kepada yang memerlukan manakala perkhidmatan kaunter boleh beroperasi sepenuhnya tanpa memerlukan sebarang janji temu.

Mesyuarat bagi pejabat kerajaan hanya dibenarkan untuk dilakukan secara maya bagi Fasa PKPD, Satu dan Dua manakala Fasa tiga dibolehkan bagi dilangsungkan secara hibrid dan Fasa Empat membenarkan mesyuarat secara fizikal.