Cuaca panas: Kurangkan aktiviti luar

Dr Ismail dan Dr Norhizan
Dr Ismail dan Dr Norhizan
A
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai diminta mengurangkan aktiviti luar ketika musim cuaca panas melampau yang sedang melanda Kedah bagi mengelak risiko terkena strok haba.

Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sekiranya seseorang itu terdedah terlalu lama kepada cuaca panas selain kurang minum air, ia boleh meningkatkan risiko strok haba terutama kepada orang tua dan kanak-kanak.

Menurutnya, apabila suhu melebihi 35 darjah Celsius, orang ramai hendaklah berwaspada dan elak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas bagi berlakunya sebarang kemungkinan.

“Tanda-tanda awal strok haba antaranya, kenaikan suhu mendadak melebihi 40 darjah Celsius atau lebih dalam masa 10 hingga 15 minit, selain mengalami kegagalan berpeluh. Simptom lain seperti kerap sakit kepala, loya dan muntah, kulit kering serta kemerahan (dehidrasi), badan lesu dan kerap pengsan serta nadi berdenyut laju,” katanya.

Dr Ismail berkata, individu itu juga mudah hilang fokus, lidah menjadi bengkak, serta tekanan darah rendah.

“Mereka yang terdedah pada aktiviti luar seperti buruh, petani, ahli sukan lebih berisiko, selain mereka yang berusia 40 tahun ke atas serta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah. Ini termasuk penghidap penyakit sistem pernafasan atau pesakit kronik seperti darah tinggi, jantung serta kencing manis,” katanya.

Katanya, cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia dan memberi kesan terhadap kesihatan sama ada tahap sederhana mahupun membawa kepada maut.

“Jika ini berlaku, rawatan awal perlu dilakukan bagi mengelak sebarang komplikasi kepada tubuh.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tidak dikawal boleh menyebabkan kematian atau hilang keupayaan kekal,” katanya.

Dr Ismail berkata, jika individu mengalami gejala tersebut, dinasihatkan agar keluar daripada kawasan panas dan segera berteduh di tempat sejuk, letakkan kain basah dan sejuk pada badan, serta gunakan kipas untuk sejukkan suhu. Minum air kosong setiap 15 minit dan elakkan pakaian ketat, serta dapatkan rawatan lanjut di hospital berdekatan,” katanya.

Menurutnya, sebagai langkah awal, minum air kosong dengan banyak tanpa perlu menunggu dahaga, selain minuman isotonik bagi menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.

“Elakkan keluar rumah sekiranya tidak perlu dan hadkan aktiviti yang mendedahkan anda kepada cahaya matahari. Pakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta gunakan topi atau payung untuk melindungi pancaran haba,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan kurangkan minuman berkafein, alkohol dan bergula ketika musim panas.

“Orang ramai perlu lebih peka dan elakkan duduk dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa,” katanya.

Sementara, Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail mengesahkan, setakat ini belum terdapat kes berkaitan gelombang haba dilaporkan di Kedah.

“Hasil pemantauan mendapati, sehingga kini tiada kes direkodkan.

"Untuk mengekalkan tahap kesihatan sepanjang musim panas, serta mengelak mengalami penyakit berkaitan cuaca panas seperti strok haba dan keletihan haba, orang ramai dinasihatkan mengamalkan tip penjagaan kesihatan,” katanya.

Pada Mac 2016, terdapat 18 kes direkodkan di Kedah akibat gelombang haba, iaitu tiga kes kekejangan otot, keletihan haba (14) dan satu kes strok haba.

Tujuh kes merupakan pelajar sekolah, melibatkan seorang pelajar ketika melakukan aktiviti di sekolah manakala enam kes di luar waktu persekolahan. Dua kes berlaku kalangan kanak-kanak berumur tiga hingga lima tahun serta satu kes membabitkan warga emas berumur 81 tahun.