X

Kindly register in order to view this article
!

Kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang PATI di KLIA2

Khairul Dzaimee Daud
A
A

PUTRAJAYA - Kaunter khas bagi Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin akan dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) minggu depan bagi melancarkan urusan pulang warganegara asing berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lapan buah kaunter dan ruang menunggu akan dibuka di Aras 2, KLIA2 dengan kapasiti seramai 500 orang pada satu masa.

Sebanyak 20 kaunter tambahan dan ruang menunggu baharu akan dibuka secara berpusat di Short Term Car Park KLIA yang dijangka dapat menampung kapasiti seramai 850 sehingga 1,000 orang pada satu-satu masa, katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen sedang berunding dengan pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menambah kaunter dan lokasi menunggu giliran yang sesuai ekoran jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) ke KLIA untuk berurusan di kaunter khas program berkenaan di Aras 3 terminal utama KLIA adalah di luar jangkaan dan melebihi kapasiti ruang menunggu.

Kaunter khas di Aras 3 KLIA dibuka sejak 5 Julai lepas untuk membolehkan PATI berurusan bagi pulang ke negara asal dengan segera. Mereka boleh hadir ke kaunter berkenaan sekurang-kurangnya enam jam sebelum waktu penerbangan tanpa melalui Sistem Temujanji Online (STO) untuk berurusan di pejabat Imigresen.

Program Rekalibrasi Pulang memberi peluang kepada pendatang yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Khairul Dzaimee berkata, Jabatan Imigresen juga sedang mengambil tindakan untuk membuka kaunter khas di pintu masuk laut di Johor bagi memberi kemudahan kepada PATI warga Indonesia pulang segera menggunakan feri.

“Jabatan Imigresen juga ingin memaklumkan bahawa hanya PATI yang mempunyai slip ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) negatif sahaja dibenarkan berurusan di kaunter-kaunter khas ini,” katanya.

Menurutnya, sehingga Selasa, seramai 101,691 orang PATI telah berdaftar dalam Program Rekalibrasi Pulang dan 83,117 daripadanya telah meninggalkan negara.

Seramai 3,483 PATI telah pulang melalui perkhidmatan kaunter khas di KLIA sejak 5 Julai hingga Selasa, katanya.

Mengulas laporan terdapat PATI terkandas dan terlepas penerbangan di KLIA, beliau berkata, mereka menunggu giliran bagi membayar kompaun sebanyak RM500 dan mendapatkan Memo Periksa Keluar sebelum dibenar meninggalkan Malaysia kerana telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa.

Katanya, terdapat juga PATI yang terlepas penerbangan kerana datang lewat tetapi terus kekal berada di KLIA untuk menunggu giliran dan penerbangan seterusnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!