1,036 individu terima darjah kebesaran TYT Pulau Pinang

Datuk Law Choo Kiang
Datuk Law Choo Kiang
A
A
A

GEORGETOWN - Toh Puan Datin Seri Khadijah Mohd Nor merupakan individu yang mendahului penerimaan Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang pada tahun ini iaitu Darjah Kebesaran Tertinggi bagi Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Khadijah merupakan isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, sempena Hari Ulang Tahun ke-72, Ahmad Fuzi telah memperkenankan untuk menganugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang kepada 1,036 individu termasuk 148 penerima yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, Datuk Seri dan Datuk.

Menurut beliau, 148 penerima tersebut melibatkan seorang penerima untuk Darjah Utama Pangkuan Negeri; dua untuk Darjah Panglima Pangkuan Negeri; Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (15), Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (14) dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (116).

Di samping itu, Choo Kiang berkata, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Dr Syed Hussian Syed Junid dan bekas Pengerusi Kumpulan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin akan dianugerahkan

Darjah Panglima Pangkuan Negeri iaitu Darjah Kedua Tertinggi bagi Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri.

"Semua gelaran yang dikurniakan akan diwartakan pada esok (Khamis) yang mana penerima boleh menggunakan gelaran setelah senarai penerima ini diwartakan.

"Selain itu, Ahmad Fuzi juga menganugerahkan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Pulau Pinang kepada 888 penerima pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada jumlah 888 itu, 66 individu akan menerima Darjah Johan Negeri, 42 bagi Bintang Cemerlang Negeri dan 195 akan menerima Pingat Kelakuan Terpuji.

"Seramai 287 individu akan menerima Pingat Jasa Kebaktian, Pingat Jasa Masyarakat (274) dan 24 untuk Pingat Bakti Setia. Penganugerahan ini adalah bagi menghargai jasa dan sumbangan individu-individu berkenaan khususnya kepada Pulau Pinang.

"Susulan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan, semua acara sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-72 Tuan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.