Majlis Presiden PH gesa Azhar lakukan tiga perkara

Guan Eng, Anwar, Mohamad Sabu
Guan Eng, Anwar, Mohamad Sabu
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun melakukan tiga perkara agar perjalanan sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 26 Julai ini mencapai maksud penuh titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Pemerintah.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, tiga perkara terbabit adalah pertamanya tidak meletakkan had 80 orang serta membenarkan semua ahli Parlimen hadir dan berada di dalam Dewan Rakyat pada bila-bila masa mesyuarat berjalan.

“Ini untuk memastikan semua ahli Parlimen yang ingin berbahas boleh berbuat sedemikian.

“Kedua, membenarkan perbahasan penuh berasaskan usul menteri untuk semua isu-isu yang telah dinyatakan dalam titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Pemerintah termasuk Pelan Pemulihan Negara, proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat, pelaksanaan program vaksinasi, langkah-langkah mencegah Covid-19 serta usaha memulihkan ekonomi serta menjamin kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Majlis Presiden PH menambah, mereka tidak boleh menerima sidang Parlimen yang dipanggil hanya untuk mendengar ceramah atau kuliah menteri tanpa perbahasan penuh.

Kata mereka, perkara ketiga adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu memutuskan sama ada beliau menjunjung penuh titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Pemerintah atau sekadar mengikut arahan kabinet.

“Jika Yang Dipertua Dewan Rakyat merasakan beliau tidak mampu melaksana tiga perubahan ini, beliau dipelawa untuk meletakkan jawatan,” jelas mereka.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut menegaskan bahawa titah pandangan Yang di-Pertuan Agong mesti dijunjung oleh kerajaan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak perlu bimbang kerana PH tidak memasukkan sebarang usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami hanya mahu menumpukan perhatian sidang khas ini kepada perkara-perkara penting pandemik Covid-19 dan kesusahan rakyat dalam krisis ekonomi masa kini,” katanya.