Tujuh kenderaan cuba rentas negeri dikompaun, diarah patah balik

Rohaimi (kiri) meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kuala Dungun,Dungun, pada Rabu.
Rohaimi (kiri) meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kuala Dungun,Dungun, pada Rabu.
A
A
A

DUNGUN- Sebanyak tujuh kenderaan yang cuba melepasi sempadan negeri diarah berpatah balik termasuk di kompaun RM5,000 pada musim perayaan ini bermula pada Ahad sehingga Rabu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, daripada jumlah tersebut, enam buah kenderaan ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Besut, manakala sebuah kenderaan lagi melalui SJR di Kemaman.

"Tujuh kenderaan ini masing-masing dikompaun sebanyak RM5,000 dan diarah berpatah balik kerana gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri daripada pihak polis," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kuala Dungun,di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, kenderaan yang diarah berpatah balik itu dipercayai cuba mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dan mereka yang ingkar mematuhi arahan,” katanya.

Sementara itu, Rohaimi berkata, hanya 583 kenderaan dari arah Pantai Barat yang direkodkan memasuki negeri ini pada hari pertama perayaan Aidiladha berbanding sehari sebelum perayaan iaitu sebanyak 1,669 buah kenderaan.

"Majoriti kenderaan yang dikesan masuk ini hanya atas urusan kerja, perniagaan dan perkhidmatan penting seperti membawa makanan segar.

"Pengurangan jumlah kenderaan ini menunjukkan perkembangan positif bahawa rakyat mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan dan keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan yang dilakukan pihak berkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Rohaimi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan kelonggaran aktiviti beriadah di taman-taman awam yang dibenarkan sejak 17 Julai lalu sebagai tempat untuk berkumpul.

"Jangan sesekali jadikan kelonggaran ini (pembukaan semula taman awam) sebagai 'titik pertemuan' (tempat berkumpul).

"Kita dapati, di kawasan Tok Jembal, Kuala Nerus, terlalu ramai orang kebelakangan ini sehingga Kita terpaksa mengadakan kawalan dan memberi nasihat untuk bersurai sekiranya mereka (pengunjung) didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), " katanya.

Rohaimi berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menutup sebelah laluan dari Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus menghala ke Jambatan Angkat di Kuala Terengganu bermula petang ini bagi mengawal pergerakan orang awam.