X

Kindly register in order to view this article
!

199 pesakit maut akibat Covid-19

199 orang pesakit maut akibat Covid-19 pada Rabu. Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia sekali lagi merekodkan kes kematian berkaitan Covid-19 tertinggi apabila 199 orang pesakit maut dilapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 84 kes kematian dilaporkan di Selangor membabitkan 63 kematian di hospital manakala 21 jenazah di bawa ke hospital (BID).

"Kuala Lumpur mencatatkan 57 kes kematian, dengan 47 pesakit menghembuskan nafas di hospital dan 10 adalah BID," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, Melaka melaporkan 16 kes kematian, Kedah (12), Negeri Sembilan (tujuh), Johor (enam), Pahang (enam), Terengganu (tiga), Pulau Pinang (dua), Perak (dua), Kelantan (dua) dan masing-masing satu di Sabah serta Sarawak.

"Masing-masing satu kes DIB direkodkan di Melaka dan Kelantan," katanya.

Beliau berkata, jumlah itu terdiri daripada 103 pesakit lelaki dan 96 wanita.

"Kes kematian ini juga melibatkan 173 rakyat tempatan dan 26 warga asing," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes kematian adalah 7,440 bersamaan dengan 0.78 peratus jumlah keseluruhan kes.

Kali terakhir negara merekodkan kes kematian tertinggi adalah pada 18 Julai dengan 153 kes.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 11,985 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan KKM pada Rabu.

"Daripada jumlah itu, 65 kes merupakan kategori lima iaitu berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan ventilator.

"Bagi kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen mencatatkan 45 kes dan 178 kes pula dikategori tiga iaitu pesakit mengalami radang paru-paru," katanya.

Menurutnya, sebanyak 5,847 kes merupakan kategori dua iaitu bergejala ringan manakala 5,850 pula kategori satu iaitu tiada gejala.

Beliau berkata, data itu adalah berdasarkan keadaan klinikal pesakit sewaktu baru didiagnosis Covid-19.

"Ada antara mereka kekal pada kategori sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status sama ada bertambah baik atau merosot ke kategori lebih tinggi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai jangkitan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini adalah 951,884.

"Selangor kekal negeri tertinggi melaporkan kes positif iaitu 5,550 kes diikuti Kuala Lumpur 1,174 kes. Kedah terus merekodkan peningkatan berbanding Selasa iaitu pertambahan 800 kes baharu.

"Negeri Sembilan (745), Johor (644), Pahang (603), Sabah (474), Melaka (453), Kelantan (386), Pulau Pinang (362), Perak (274), Sarawak (261), Terengganu (171), Putrajaya (51), Labuan (35) dan satu kes di Perlis," katanya.

Ujarnya, terdapat 137,587 kes aktif di seluruh negara dan 927 dirawat di ICU.

"Seramai 459 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, seramai 7,902 kes disahkan sembuh sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 806,857 kes.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!