161 individu di Pahang diberi kaunseling

Seramai 611 individu di Pahang sudah mendapat khidmat kaunseling secara berkelompok dan komuniti dalam tempoh enam bulan tahun ini. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Seramai 611 individu di Pahang sudah mendapat khidmat kaunseling secara berkelompok dan komuniti dalam tempoh enam bulan tahun ini. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang merekodkan seramai 611 individu sudah mendapat khidmat kaunseling secara berkelompok dan komuniti dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, khidmat kaunseling ini diberikan bagi mengelak emosi lebih teruk selepas mereka berdepan situasi menekan ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, kebanyakan aduan yang diterima membabitkan masalah kewangan, diberhentikan kerja, kemurungan dan keganasan rumahtangga.

"Kita telah mengadakan 543 ujian psikologi termasuk 101 kali bengkel interaktif yang berkaitan dengan perintah Akta Kanak-Kanak 2001 kepada mereka yang terlibat.

"Pihak kita sebenarnya berusaha sedaya upaya membantu individu terbabit untuk terus menjalani kehidupan yang lebih baik dan mencapai kesejahteraan psikologi yang optimum," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau menjelaskan aduan mengenai masalah kewangan paling banyak diterima akibat terputus punca pendapatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Zulkhairi berkata, bagaimanapun pihaknya prihatin dan sentiasa bersedia membantu memberi bantuan kewangan serta keperluan asas kepada mereka.

"Kebiasaan bantuan ini diberikan menerusi kerjasama dengan Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (Makpen) bagi melancarkan agihan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tahun lalu, JKM Pahang melaksanakan 767 perkhidmatan kaunseling kepada golongan memerlukan berkait pelbagai isu dan 968 ujian psikologi serta 143 bengkel interaktif.