'Saya selesaikan isu rakyat, bukan suka-suka langgar SOP'

MOHD FAKRULRAZI
MOHD FAKRULRAZI
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakrulrazi Mohd Mokhtar mempersoalkan dakwaan pihak tertentu yang membuat laporan ke atas dirinya kerana dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Mohd Fakrulrazi, beliau bersama pegawai khasnya telah dipanggil polis sebanyak dua kali selepas mengadakan pertemuan bersama pengurusan kilang pengeluar sarung tangan, Top Glove pada 13 Julai lalu.

Mohd Fakrulrazi berkata, beliau mengadakan pertemuan bersama pengurusan kilang berkenaan selepas menerima jemputan bagi membincangkan beberapa isu di kawasan Meru.

"Sebelum ini, kita tahu kawasan Meru terpalit dengan beberapa isu sensitif seperti mini Dhaka, warga asing dan sebagainya.

"Disebabkan itu, kami telah menerima jemputan daripada pihak Top Glove untuk hadir berbincang dan melihat keadaan di sana.

"Saya hadir untuk menyelesaikan isu rakyat dan bukannya bersuka-suka atau melanggar SOP," katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Fakrulrazi turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang merampas telefon bimbit milik pusat khidmatnya bagi membantu siasatan kes tersebut.

Beliau berkata, polis juga boleh mengeluarkan kompaun secara terus dan tidak perlu memanggilnya sebanyak dua kali untuk siasatan berhubung kes itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya turun ke lapangan bagi menyelesaikan isu yang meresahkan rakyat, jadi kenapa perlu siasatan sampai begitu.

"Saya mungkin akan memikirkan tindakan kepada pihak yang secara jelas dengan sengaja membuat laporan bagi mengganggu tugasan sebagai wakil kepada rakyat," ujar beliau.

Buat sementara waktu, katanya orang ramai yang ingin berhubung dengan pusat khidmatnya boleh berbuat demikian menerusi aplikasi Whatsapp sahaja iaitu 011-1168 0322.