Berikan peluang Boxall pulih untuk beraksi

Michael Boxall
Michael Boxall
A
A
A

PENGENDALI New Zealand, Danny Hay menegaskan dia tetap memberikan peluang kepada pemain pertahanan Michael Boxall untuk pulih daripada kecederaan sebelum beraksi pada setiap perlawanan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Katanya, tempat pemain berusia 32 tahun itu, tetap tersedia biarpun tidak diturunkan pada aksi pembukaan Kumpulan B, berdepan Korea Selatan di Stadium Kashima, pada Khamis.

Menurut Hay, Boxall yang berdepan kecederaan pangkal paha ketika ini sedang menjalani proses pemulihan di Amerika Syarikat (AS).

“Kami memberikannya peluang untuk pulih dan kami berharap dapat menggunakan khidmatnya pada aksi terakhir bagi saingan peringkat kumpulan nanti. Ia ibarat seperti membawa masuk pemain baharu.

“Apa pun, harapan kami adalah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan dan jika ketika itu Boxall sudah mula beraksi ia adalah sesuatu yang dinanti-nantikan.

“Oleh itu, buat masa ini, kami berikannya masa yang secukupnya untuk pulih daripada kecederaan yang dialaminya itu,” katanya.

Boxall yang juga pemain kelab Minnesota United dalam saingan Liga Amerika Syarikat (MLS) merupakan salah seorang daripada tiga pemain yang melebihi had umur yang beraksi untuk New Zealand pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dua lagi pemain yang melebihi had umur yang beraksi bersama adalah Winston Reid, 33, dan penyerang Chris Wood, 29.

Artikel Berkaitan:

Selain Korea Selatan, New Zealand juga bakal berdepan Romania dan Honduras bagi aksi Kumpulan B pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Hay berharap kesemua pemain yang dipanggil mewakili skuad The Olywhites itu dapat segera menyesuaikan diri bagi mengharungi saingan di peringkat kumpulan nanti.

“Pemain yang datang dari New Zealand, yang ketika ini dalam musim sejuk, mungkin akan sedikit terkejut, namun rasanya mereka boleh menyesuaikan diri dengan cepat.

“Kita juga telah memanggil pemain-pemain yang datangnya dari seluruh dunia. Mungkin suasananya berbeza, namun diharapkan mereka dapat segera menyesuaikan diri,” katanya.