MAIS salur RM50,000 bantu pengurusan jenazah Covid-19

MAIS memberi sumbangan RM50,000 bagi membantu urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.
MAIS memberi sumbangan RM50,000 bagi membantu urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi membantu menyediakan bekalan peralatan pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Peruntukan Baitulmal MAIS itu disalurkan kepada Amal Valley Organization yang merupakan sebuah pertubuhan dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menguruskan jenazah Covid-19 di hospital seluruh negeri ini.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, sumbangan ini merupakan sokongan pihaknya kepada umat Islam di Selangor memandangkan pengurusan setiap jenazah pesakit Covid-19 perlu disegerakan pengebumiannya.

"Kami difahamkan bagi satu kematian berpunca akibat Covid-19 memerlukan kos minimum sebanyak RM940.50 seorang.

"Oleh sebab itu, sebagai kebersamaan antara MAIS bersama JAIS, kami menyalurkan sumbangan ini untuk melancarkan urusan pengebumian jenazah Covid-19," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Menerusi penyerahan itu, Amal Valley Organization menerima bekalan seperti body bag dan pakaian pelindung diri (PPE) bagi kegunaan mereka untuk pengurusan jenazah terlibat.

Dalam pada itu, Pengerusi Amal Valley Organization, Dr Azfar Hussin turut berbesar hati dengan pemberian sumbangan itu yang amat membantu dalam meringankan beban pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

"Terima kasih kepada MAIS dan JAIS atas keprihatinan ini yang sedikit sebanyak menaikkan semangat sukarelawan yang menguruskan jenazah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, masyarakat Islam di Selangor yang ingin bersedekah boleh melayari laman web rasmi MAIS di pautan http://www.mais.gov.my untuk keterangan lanjut.