X

Kindly register in order to view this article
!

AS, Jepun dan Korea Selatan usaha tingkat keamanan di Indo-Pasifik

A
A

KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea Selatan pada Rabu membincangkan usaha bersama untuk meningkatkan keamanan, keselamatan serta kemakmuran di Indo-Pasifik merangkumi pelbagai aspek termasuk kebebasan, ekonomi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

Perkara itu dibincangkan antara Timbalan Setiausaha Negara AS, Wendy R. Sherman, Timbalan Menteri Luar Jepun, Mori Takeo dan Timbalan Menteri Luar Korea Selatan, Choi Jong Kun dalam perbincangan tiga hala di Tokyo pada Rabu.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price dalam satu kenyataan menyatakan Timbalan Setiausaha dan dua Timbalan Menteri Luar mengulangi pendirian menolak sebarang aktiviti yang boleh melemahkan, menggugat, atau mengancam undang-undang antarabangsa selain menegaskan perlunya mengekalkan Indo-Pasifik yang bebas, inklusif dan terbuka.

Mereka juga menentang segala usaha sepihak untuk mengubah status quo di Laut China Timur dan berikrar memelihara keamanan serta kestabilan, perdagangan yang bebas dan menghormati undang-undang antarabangsa, termasuk kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan dan selainnya.

"Perbincangan itu juga menekankan pentingnya menjaga keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan," kata Price.

Menurut kenyataan itu lagi, ketiga-tiga pemimpin itu turut mengesahkan sokongan pemusatan ASEAN dan seni bina serantau yang diterajui ASEAN.

"Mereka juga membincangkan usaha untuk menyokong rakyat Myanmar untuk mengembalikan demokrasi," tambahnya.

Turut dirundingkan komitmen bersama untuk mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear dan menangani ancaman yang ditimbulkan oleh program peluru berpandu nuklear dan balistik Korea Utara.

Komitmen lain termasuk mempererat kerjasama tiga hala dalam menangani cabaran global abad ke-21, antaranya krisis iklim, tindak balas pandemik selain daya tahan dan pemulihan ekonomi. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!