X

Kindly register in order to view this article
!

Bung Moktar gesa hantar segera vaksin ke Sabah

Bung Moktar
A
A

KOTA KINABALU - Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) diminta supaya menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan pemberian vaksin di negeri ini berjalan lancar.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berdasarkan data JKJAV, penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua di negeri ini amat rendah berbanding negeri lain.

Situasi ini kata beliau, agak membimbangkan ekoran peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah sejak kebelakangan ini.

"Selaku wakil rakyat yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat Sabah, saya meminta kerajaan pusat supaya menyegerakan penghantaran vaksin bagi memastikan kita dapat memberikan suntikan imunisasi kepada lebih banyak rakyat di negeri ini.

"Soal berkaitan kesihatan dan kebajikan rakyat Sabah perlu diutamakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bilik mesyuarat di Bangunan Kementerian Kerja Raya pada Rabu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kinabatangan berkata, perkara itu tidak boleh dilengahkan kerana negara berdepan dengan ancaman virus Covid-19 yang lebih berbahaya ekoran penemuan varian baharu yang lebih mudah menular.

"Justeru kita perlu segera membentuk imuniti berkelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan, " katanya.

Tambah beliau, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan kerajaan negeri seperti pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) serta Program Outreach Vaksinasi Covid-19.

"Namun sudah tentu sukar untuk mencapai sasaran vaksinasi sekiranya bekalan vaksin tidak mencukupi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya turut menyarankan kepada pihak terlibat supaya melaksanakan inisiatif lain bagi menggalakkan lagi pendaftaran vaksin kerana kaedah melalui MySejahtera kurang berkesan.

"Pendekatan walk-in wajar dipertimbangkan kepada rakyat Sabah yang belum lagi menerima janji temu khususnya di kawasan luar bandar memandangkan sebahagian mereka tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet.

"Selain melalui MySejahtera, pendaftaran secara walk-in dan pandu lalu juga perlu dibuka kepada orang ramai bagi memastikan Sabah dapat mencapai sasaran imuniti berkelompok dalam tempoh yang disasarkan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!