Pemimpin perlu punyai empati, integriti

Hussamuddin menekankan kepentingan pemimpin negara baik dari kerajaan dan pembangkang mempunyai integriti yang tinggi.
Hussamuddin menekankan kepentingan pemimpin negara baik dari kerajaan dan pembangkang mempunyai integriti yang tinggi.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin seharusnya mempunyai empati dan integriti dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat khususnya ketika menghadapi tempoh sukar mendepani pandemik Covid-19.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia termasuk memberi perhatian dan tindakan kepada inisiatif bendera putih yang dilakukan rakyat.

Menurut beliau, jika pemimpin itu mempunyai empati mereka dengan sendirinya akan menggunakan isu bendera putih itu untuk galak lebih ramai pihak supaya tampil membantu.

"Kalaulah saya sebagai pemimpin, pada masa orang sibuk keluarkan bendera putih, saya tidak akan marah (kempen bendera putih).

"(Tetapi) saya akan kata sebab apa mereka berbuat demikian dan mungkin (kerana) sistem agihan itu tidak sempurna.

Hussamuddin ditemu bual oleh pengacara program Rozina Aziz dan Rizal Zulkapli.
Hussamuddin ditemu bual oleh pengacara program Rozina Aziz dan Rizal Zulkapli.

"Jadi apa yang akan saya cakap adalah bagus kerana sekurang-kurangnya rakyat sudah kreatif mengeluarkan satu cara untuk berkomunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Leaders Speakeasy bertajuk 'Integriti dan Empati Dalam Kepimpinan' yang disiar secara langsung menerusi saluran televisyen Astro Awani pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Jelas Hussamuddin yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters, setiap pemimpin juga harus bersikap berjiwa besar untuk menerima teguran dan kritikan.

"Saya pasti ada pemimpin yang tidak terfikir pun kempen bendera putih itu menjadi salah satu cara untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan.

"Jadi, dengan cara itu pemimpin boleh kerahkan pegawai kebajikan dan agensi berkaitan untuk membantu golongan ini," katanya.