X

Kindly register in order to view this article
!

Kontinjen Malaysia di Tokyo bebas Covid-19

Media melaporkan terdapat 71 kes Covid-19 dikesan membabitkan temasya Sukan Olimpik Tokyo. - Foto AFP
A
A

TIADA kes jangkitan Covid-19 melibatkan atlet dan kontinjen Malaysia yang berada di perkampungan Olimpik di Tokyo, Jepun ketika ini, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau berkata, kontinjen negara yang tiba di negara matahari terbit itu pada Ahad lalu kini dalam fasa menyesuaikan diri masing-masing dan atlet juga telah memulakan latihan ringan.

“Atlet kita semua okey. Kita ada pegawai di sana (Tokyo) yang memantau keadaan mereka dan setakat ini tiada sebarang kes (Covid-19) yang berjangkit kepada atlet kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) mega Movenpick KLIA, di sini pada Rabu.

Media melaporkan terdapat 71 kes Covid-19 dikesan membabitkan temasya sukan berprestij itu.

Kontinjen Malaysia seramai 40 orang termasuk 18 atlet daripada sukan renang, terjun, badminton, gimnastik dan memanah berlepas ke Tokyo pada Sabtu lepas bagi mengharungi cabaran temasya sukan terbesar dunia itu yang bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Empat atlet pelayaran yang diiringi tiga pegawai bertolak ke Tokyo pada 8 Julai lalu manakala kumpulan seterusnya yang terdiri daripada atlet sukan berbasikal trek, olahraga dan golf dijangka berlepas pada 25 Julai ini.

Mengenai kenyataan Ketua Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo, Toshiro Muto yang tidak menolak kemungkinan temasya itu dibatalkan pada saat-saat akhir seandainya kes Covid-19 terus meningkat, Wan Ahmad Fayhsal berkata Malaysia akan memantau situasi itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 470 pekerja industri sukan telah berdaftar sebagai sukarelawan di bawah Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac).

MyVac yang dilancarkan pada Mac lalu merupakan inisiatif kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membantu melancarkan pengurusan pemberian vaksin kepada masyarakat.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, seramai 106 sukarelawan MyVac ditempatkan di PPV mega Movenpic KLIA. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!