PAC sambung prosiding perolehan vaksin pada Selasa

Wong Kah Woh
Wong Kah Woh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz antara individu yang akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada prosiding berhubung isu perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia yang disambung semula Selasa ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dalam kenyataan di sini berkata, Khairy akan dipanggil semula pada 27 Julai manakala Tengku Zafrul akan dipanggil pada 28 Julai.

Menurutnya, jawatankuasa itu juga akan mendengar penjelasan daripada Akauntan Negara, Datuk Dr Yacob Mustafa pada 28 Julai.

PAC sebelum ini, memulakan prosiding berhubung perkara itu dengan mendengar penjelasan daripada Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada 5 Januari lalu.

"Mengambil kira perkembangan terbaru mengenai perolehan vaksin Covid-19 sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa selama enam bulan, PAC berpendapat kerajaan perlu memberikan penjelasan lebih terperinci kepada jawatankuasa ini memandangkan senarionya sudah berubah berbanding Januari lalu," katanya.

Kah Woh berkata, prosiding berhubung isu itu menggunakan punca kuasa daripada Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang membenarkan PAC memeriksa apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh jawatankuasa itu patut diperiksa.

PAC komited untuk menyiapkan laporan mengenai isu perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia sebelum dibentang ke Parlimen selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat sidang Dewan Rakyat yang dijadual Oktober hingga Disember. - Bernama

Artikel Berkaitan: