Tubuh lebih banyak jawatankuasa pilihan khas di Parlimen

Kenyataan akhbar oleh Azalina pada Rabu. Azalina - Foto Bernama
Kenyataan akhbar oleh Azalina pada Rabu. Azalina - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said meminta Perdana Menteri supaya segera menubuhkan lebih banyak jawatankuasa khas ketika persidangan khas Parlimen yang bermula pada 26 Julai ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan boleh melaksanakan langkah tersebut melalui Usul Perkara Penting dan Kepentingan Umum Mendesak di bawah Peraturan 18 Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, peraturan itu memperuntukkan kuasa bagi menubuhkan lebih banyak jawatankuasa Parlimen sama ada dalam bentuk jawatankuasa pilihan khas secara ad-hoc atau jawatankuasa pilihan khas bagi tujuan pertimbangan perundangan dan memantau kementerian.

“Artikel 43 (3) Perlembagaan Persekutuan secara tegas menyatakan ‘Kabinet bertanggung jawab secara kolektif kepada Parlimen".

“Ini adalah prinsip asas perlembagaan dalam semua sistem Parlimen Westminster,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kerajaan memutuskan Mesyuarat Khas Penggal ketiga Parlimen ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Persidangan itu bertujuan memberi penerangan kepada semua ahli Parlimen berkenaan tentang Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, peruntukan kewangan perlu disediakan kepada Jawantakuasa Pilihan Khas itu bagi membolehkan ia dapat menggajikan lebih banyak penyelidik dan penganalisis profesional untuk tujuan mengenal pasti isu yang memberi kesan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelbagai pihak masih meragui impak yang dapat dicapai hasil daripada persidangan khas Parlimen yang diadakan hanya selama lima hari itu.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, di sebalik kekacauan politik yang berlaku ketika ini, tidak ada cara lain boleh dilakukan kerajaan bagi memulihkan kestabilan selain daripada melibatkan semua pihak berkepentingan melalui Parlimen.

“Terdapat seramai 88 Ahli Parlimen yang bukan ahli jawatankuasa Parlimen. Kita harus menggunakan mereka ini bagi membolehkan semua pihak dapat terlibat dengan baik dalam menangani Covid-19 di peringkat kebangsaan,” jelasnya.

Selain itu, Azalina turut mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya melibatkan kehadiran Peguam Negara ketika persidangan khas tersebut bagi membolehkan sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan undang-undang darurat dapat dijawab di Parlimen.