TPM nasihat pasukan HM4P pulang ke Malaysia

Ismail Sabri ketika melakukan sidang video bersama pasukan bantuan kemanusiaan Malaysia ke Palestin pada Selasa.
Ismail Sabri ketika melakukan sidang video bersama pasukan bantuan kemanusiaan Malaysia ke Palestin pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihati pasukan Misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) yang berada di Kaherah, Mesir untuk pulang ke Malaysia susulan keadaan yang masih tidak menentu di Gaza.

Perkara itu disampaikan Ismail Sabri ketika beliau mengadakan sidang video bersama pasukan bantuan kemanusiaan ke Palestin itu yang diketuai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) yang juga ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada Selasa.

"Insya-ALLAH jika keadaan stabil, mereka boleh ke Gaza semula. Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi, setiap orang ada pengorbanannya, dalam pengorbanan juga pasti ada ujiannya.

"Tetapi ALLAH itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Dia mengetahui setiap pengorbanan seorang insan. Semoga setiap usaha dan pengorbanan itu dijadikan asbab kebahagian yang dapat untuk semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, Abdul Azeez dalam satu kenyataan pada Rabu mengesahkan bahawa misi kemanusiaan HM4P ditangguhkan buat sementara waktu.

Katanya, beliau telah berbincang dengan Ismail Sabri dan memaklumkan pihak tentera Mesir tidak dapat memberi jaminan keselamatan susulan keadaan tidak menentu di Semenanjung Gaza.

Abdul Azeez berkata, walaupun HM4P mendapat kelulusan kerajaan Mesir, tetapi pihak tentera yang akan membawa rombongan bantuan itu tidak dapat memberikan jaminan keselamatan.

“Ini susulan beberapa hari lalu tentera udara rejim Zionis melakukan serangan udara di sekitar Semenanjung Gaza dengan alasan membalas tindakan pejuang Palestin yang melepaskan belon pembakar ke kawasan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini, HM4P hanya mendapat kelulusan untuk ke sempadan Rafah sahaja tanpa masuk ke Gaza,” katanya sambil menambah mereka akan menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia jam 1 pagi Khamis dari Kaherah, Mesir.

Misi HM4P yang bermula 19 Jun lalu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel pada Mei lalu.

Serangan ke atas wilayah Gaza yang menyebabkan jumlah kematian sebanyak 250 warga Palestin termasuk 66 kanak-kanak dan kemusnahan kediaman dan harta benda secara rasminya tamat pada 21 Mei lalu selepas rejim Israel mengumumkan gencatan senjata.