X

Kindly register in order to view this article
!

Penghantar makanan maut nahas tiga kenderaan

Seorang penghantar makanan maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Johor Bahru-Air Hitam di Kulai pada Selasa.
A
A

KULAI - Seorang penghantar makanan maut selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 30, Jalan Johor Bahru - Air Hitam, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 5.50 petang.

Katanya, kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan dua buah kereta jenis Honda dan Chevrolet.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Honda memandu secara laju dari lorong sebelah kiri di lokasi kejadian.

"Pemandu Honda itu kemudiannya menukar laluan terus ke lorong sebelah kanan dan telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian kiri tayar depan kereta jenis Chevrolet yang ketika itu berada di lorong sebelah kanan.

"Kereta Honda itu kemudiannya memasuki lorong bertentangan jalan dan telah melanggar penunggang motosikal yang berada di laluan tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beng Yeow berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa yang menaiki motosikal Honda Wave berumur 33 tahun, maut di lokasi kejadian manakala pemandu Honda yang cedera dibawa ke Hospital Kulai untuk menerima rawatan.

Menurut beliau, lokasi kejadian merupakan jalan lurus dua hala dan setiap hala dipisahkan batu pembahagi jalan berhampiran selekoh menaiki bukit.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati keadaan jalan raya kering manakala aliran trafik ketika itu tidak terlalu sibuk.

"Kenderaan akan dibawa ke Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) Senai untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!