Agensi Anadolu Turki bakal siarkan Olimpik Tokyo dalam 12 bahasa

Foto Reuters
Foto Reuters
A
A
A

AGENSI Anadolu bakal menyiarkan berita Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam 12 bahasa mulai Jumaat, 23 Julai.

Agensi Berita Turki itu merancang menyampaikan berita dan gambar menarik atlet terkenal dunia dan 108 pasukan yang akan bertanding dalam 18 acara.

Bahan Infografik juga menjadi sebahagian liputan selain menumpukan kepada perkembangan terkini untuk peminat sukan yang disediakan menerusi laman web dan media sosial Agensi Anadolu.

Berita berkenaan akan disampaikan dalam bahasa Inggeris, Arab, Perancis, Rusia, Parsi, Sepanyol, Indonesia, BCS (Bosnia, Croasia, Serbia), Albania, Macedonia, Sorani dan Kurmanci.

Selain itu, berita akan dikongsi di media sosial dengan tanda pagar #Tokyo2020.

Berita itu akan disiarkan sehingga temasya berakhir pada 8 Ogos, merangkumi kisah kejayaan atlet, gambar menarik, perkembangan terbaharu di tengah-tengah pandemik melanda dan temu bual eksklusif dengan atlet yang merangkul pingat.

Perkongsian mengenai Sukan Olimpik tersebut akan dilakukan oleh petugas Agensi Anadolu dengan lapan wartawan di Tokyo.

Peminat sukan juga berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat menerusi siaran sidang media, temu bual dan laporan mengenai atlet terutamanya pasukan kebangsaan Turki. - Bernama

Artikel Berkaitan: