Penerbit filem mengaku tidak bersalah terbit filem 'Babi'

Han Boon (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu, atas pertuduhan mengeluarkan filem 'Babi' dan mempamerkan poster filem itu tanpa lesen daripada Finas November tahun lalu.
Han Boon (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu, atas pertuduhan mengeluarkan filem 'Babi' dan mempamerkan poster filem itu tanpa lesen daripada Finas November tahun lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penerbit filem kontroversi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mengeluarkan filem bertajuk 'Babi' dan mempamerkan poster filem itu tanpa lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), November tahun lalu.

Toh Han Boon, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Mengikut pertuduhan, Han Boon didakwa mengambil bahagian dalam aktiviti pengeluaran filem itu dan mempamerkan poster filem tanpa lesen sah daripada Finas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan PJU, Mutiara Damansara, di sini pada jam 6 petang, 18 November 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981 (Akta 244 pindaan 2013) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Haijan Omar membantah syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan kerana menyifatkannya sebagai tidak munasabah.

"Saya juga memohon agar mahkamah memberikan ikat jamin pada kadar rendah memandangkan pandemik Covid-19 ketika ini menyebabkan pendapatan anak guam saya terjejas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhammad Iskandar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 14 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pada 11 Disember 2020, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) membuat laporan polis berhubung filem berkenaan.

Tindakan penyanyi dan pengarah muzik, Namewee menerbitkan filem terbaharu berjudul 'BABI' terus menerima menerima kecaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Filem 'Babi': Seniman khuatir wujud unsur pemalsuan dokumen kepada Finas