Penduduk resah dibelenggu masalah bau busuk

Sisa dan organ sembelihan yang dibuang di tali air berhampiran kawasan Kampung Teluk Penyamun, di Kuala Selangor.
Sisa dan organ sembelihan yang dibuang di tali air berhampiran kawasan Kampung Teluk Penyamun, di Kuala Selangor.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk sekitar Kampung Teluk Penyamun, di sini, resah apabila terpaksa berdepan masalah bau busuk di kawasan berkenaan khususnya setiap kali menjelang musim perayaan.

Difahamkan, bau busuk itu berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa dan organ sembelihan di tali air berhampiran kawasan terbabit.

Ketua Kampung Kuantan, Quarol Hisham Rohmat berkata, penduduk setempat telah berdepan masalah itu sejak tiga tahun lalu malah beberapa tindakan telah diambil sebelum ini bagi menangani isu berkenaan.

"Setiap kali musim perayaan, isu ini pastinya akan berlaku dan mengundang rasa tidak selesa kepada penduduk setempat.

"Walaupun penduduk telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi isu ini daripada berulang, si pelaku masih terlepas dan gagal berjaya dikesan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jentera pengaut sedang membersihkan sisa buangan di tali air berkenaan.
Jentera pengaut sedang membersihkan sisa buangan di tali air berkenaan.

Mengulas lanjut, Quarol berkata, tindakan pihak terbabit bukan sahaja mengundang masalah bau busuk namun turut mengakibatkan pencemaran air di kawasan terlibat.

Katanya, pelaku berkenaan juga dipercayai merupakan penduduk berhampiran kawasan itu berdasarkan beberapa petunjuk yang ditinggalkan di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga sudah membuat laporan polis selepas menemui beberapa petunjuk sebelum ini antaranya seperti nama syarikat pada guni yang dibuang di lokasi terlibat.

"Malah, laporan polis terkini dibuat pada semalam (Rabu) di Balai Polis Bestari Jaya," katanya.

Tambah Quarol, pihaknya juga telah memanjangkan isu itu kepada agensi berkaitan menerusi Laporan Bencana Selangor bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil kepada pelaku.

"Kami difahamkan polis sedang giat menyiasat kes ini dan berharap agar pelaku dapat dikenakan tindakan tegas," katanya.