Polis kesan dua kes laksana ibadah korban di belakang rumah

Abdullah Mohammed Piah
Abdullah Mohammed Piah
A
A
A

KOTA BHARU - Polis mengesan masih ada individu yang berdegil mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Aidiladha di negeri ini dengan melaksanakan upacara penyembelihan haiwan korban secara persendirian dan keluarga tanpa kebenaran di kawasan belakang rumah mereka.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asistan Komisioner Abdullah Mohammed Piah berkata, dua kesalahan itu dikesan pada hari raya pertama yang berlaku di Pasir Puteh pada Selasa.

Menurutnya, mereka melakukan kesalahan melanggar SOP kerana melaksanakan ibadah korban tanpa kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

“Mereka masih berdegil dan tetap melakukan ibadah korban walaupun tidak mendapat kebenaran dengan kehadiran tukang sembelih dan ahli keluarga yang terlibat dalam aktiviti itu.

“Mereka yang menganjurkan upacara ibadah korban tanpa kebenaran ini masing-masing dikompaun RM1,500,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, satu kes ingkar SOP dengan mengadakan jamuan Hari Raya Aidiladha turut direkodkan di Pasir Puteh dan tuan rumah dikenakan kompaun RM1,500.

“Keseluruhan mereka yang dikompaun pada Hari Raya Aidiladha pertama di negeri ini adalah lapan individu.

“Tindakan diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, sebanyak 149 kenderaan yang cuba rentas daerah atas alasan bukan kecemasan diarah berpatah balik.

“Alasan yang digunakan antaranya hendak mengambil daging korban, hendak melawat ibu bapa dan sebagainya yang tidak dibenarkan ketika ini.

“Keadaan semasa di tiga sekatan jalan raya (SJR) di sempadan antara negeri di Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh pula berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Abdullah berkata, pemantauan ketat menerusi anggota polis yang turun padang ke kawasan kampung dan ke lokasi-lokasi penyembelihan diteruskan pada hari kedua Aidiladha.

“Tindakan tegas dibuat bagi memastikan rakyat terus mematuhi SOP ditetapkan sekali gus mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya.