X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada Rabu dalam situasi kebimbangan meningkat mengenai penularan Covid-19 varian Delta yang telah membawa kepada sekatan pergerakan baharu di beberapa negara di Asia Tenggara, kata peniaga.

Pada jam 9.20 pagi, unit tempatan merosot kepada 4.2325/2360 berbanding dolar AS daripada 4.2240/2265 semasa ditutup pada Isnin.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, dolar AS kembali mengukuh berikutan reputasinya yang selamat dan menjadi kelaziman untuk pelabur lebih memegang dolar berbanding membeli saham dalam tempoh tidak menentu ini.

“Peniaga ringgit akan memberi tumpuan kepada data mengenai Indeks Harga Pengguna yang akan dikeluarkan pada Jumaat, yang dijangka akan memberi gambaran mengenai situasi inflasi di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, inflasi di Malaysia naik pada Mac tetapi sejak itu mencatatkan dua bacaan di bawah jangkaan.

“Inflasi yang rendah bermakna bank pusat tidak akan tergesa-gesa untuk menaikkan kadar faedah, dan ini dijangka mempercepatkan trend kenaikan dolar berbanding ringgit,” katanya.

Dari segi teknikal, Diniz berkata, aspek yang menjadi tumpuan ialah pada paras 4.2400, apabila ringgit dijangka menghadapi tekanan jualan yang kuat berbanding dolar AS.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit merosot berbanding euro kepada 4.9838/9902 daripada 4.9750/9780 semasa ditutup pada Isnin dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8484/8516 daripada 3.8470/8493.

Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0969/0997 daripada 3.1034/1057 sebelum ini dan naik berbanding pound kepada 5.7676/7751 daripada 5.8038/8072.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena sambutan perayaan Aidiladha. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!