Tiga vaksin buatan tempatan Thailand tunjuk hasil memberangsangkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Tiga vaksin Covid-19 yang dibangunkan di Thailand, termasuk satu menggunakan RNA messenger (mRNA), dijangka tersedia menjelang tahun depan.

Menerusi Facebook kerajaan Thai Khu Fah, ketiga-tiga calon vaksin buatan tempatan itu telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Vaksin berkenaan ialah CU-Cov19 (mRNA), dibangunkan Universiti Chulalongkorn dan Universiti Pennsylvania, HXP-GPO Vac (tidak aktif) oleh Pertubuhan Parmaseutikal Kerajaan, Universiti Mahidol dan Program for Appropriate Technology in Health (PATH) Amerika Syarikat dan vaksin Institut and Baiya SARS-CoV-2 VAX1 (vaksin subunit berasaskan tumbuhan) dihasilkan Baiya Phytopharm Co., Ltd dan Universiti Chulalongkorn.

Sementara itu, Thailand hari ini menandatangani kontrak pemerolehan 20 juta lagi dos vaksin Pfizer-BioNTech.

Dalam satu kenyataan, Pfizer dan BioNTech berkata vaksin mRNA itu dijangka tiba pada suku keempat tahun ini.

"Kami amat gembira selepas menandatangani perjanjian penting ini dengan Kerajaan Thailand sebagai sebahagian komitmen bersama untuk terlibat dalam usaha negara ini membendung jangkitan Covid-19," kata Pengurus Pfizer (Thailand) Ltd. dan Indochina, Deborah Seifert.

Setakat ini, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand telah meluluskan enam vaksin Covid-19 iaitu Sinovac, AstraZeneca, Johnson & Johnson, Moderna, Sinopharm dan Pfizer-BioNTec.

Namun, hanya tiga vaksin digunakan di Thailand - Sinovac, Sinopharm (kedua-duanya vaksin virus tidak aktif) dan AstraZeneca (vaksin jenis vektor virus) - belum ada vaksin mRNA yang digunakan.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatat 11,305 kes baharu Covid-19 dan 80 kematian, menjadikan jumlah jangkitan sehingga kini sebanyak 426,475 dan korban seramai 3,502.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) menyatakan kes baharu yang dilaporkan itu sebanyak 11,291 melibatkan penularan tempatan merangkumi 2,097 pengesanan kes aktif dan 595 banduan manakala 14 kes import.

Menurut CCSA, kes kematian terbaru pula terdiri 43 wanita dan 37 lelaki berusia antara 14 dan 94 tahun, termasuk dua warga Myanmar dan masing-masing seorang rakyat Laos dan Perancis.

Bangkok menduduki tempat teratas dengan jumlah terbaru kes jangkitan tertinggi iaitu 2,764 dan 41 kematian. - Bernama

TAG: Thailand, COVID-19, vaksin, mRNA