X

Kindly register in order to view this article
!

PPN fasa 2: Finas kemuka syarat aktiviti penggambaran

Datuk Saifuddin Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya produksi drama, iklan dan dokumentari yang ditangguhkan penggambaran kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk meneruskan penggambaran pada Fasa Dua.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia adalah antara syarat utama di bawah kelulusan Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi kelulusan untuk aktiviti penggambaran filem pada Fasa Dua PPN.

Beliau berkata, syarat lain adalah aktiviti penggambaran hanya boleh dijalankan di negeri yang berada di status Fasa Dua dan melibatkan lokasi atau premis penggambaran luar studio sahaja.

“Produksi boleh menggunakan mana-mana lokasi atau premis dengan syarat ia mempunyai jarak zon penampan (buffer zone) daripada mana-mana kawasan penempatan serta perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Aktiviti penggambaran dilaksanakan dengan kaedah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang melibatkan jumlah tenaga produksi yang minima serta tidak dibenarkan keluar dari radius zon penggambaran sehingga tamat penggambaran,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Justeru Saifuddin berkata, setiap produksi mempunyai tempoh bertenang yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk sebarang penggambaran baharu.

Beliau berkata, syarat lain termasuk penguatkuasaan aspek kawalan risiko dengan kebenaran hanya diberikan kepada tenaga produksi yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 serta menjalani saringan kesihatan sebelum, semasa dan selepas tamat penggambaran.

Selain itu pelantikan Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) oleh pihak produksi yang bertanggungjawab bagi pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan juga antara syarat di bawah kelulusan SPP Khas.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan melakukan sedikit perubahan ke atas SOP di bawah PPN bagi Fasa Satu dan Fasa Dua, antaranya meluluskan pembukaan semula aktiviti penggambaran filem di luar studio dengan pematuhan SOP ketat pada Fasa Dua.

Keputusan itu dibuat berikutan perkembangan positif kadar vaksinasi negara.

Saifuddin berkata, keputusan berkenaan adalah antara usaha berterusan kerajaan merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif melalui daya saing pengeluaran produk dan peluang pekerjaan.

Katanya, kelulusan untuk aktiviti penggambaran filem pada Fasa Dua adalah berpandukan kepada pelaksanaan syarat yang diperketatkan di bawah PREP yang akan dikawal selia oleh FINAS.

“Inisiatif PREP ini juga adalah kawalan bersepadu aktiviti penggambaran yang bergerak dalam zon gelembung yang terasing, terkawal dan terhad melalui pematuhan syarat-syarat utama di bawah kelulusan SPP Khas Finas,” katanya.

Beliau juga menyeru syarikat produksi yang terlibat untuk sentiasa mematuhi semua syarat yang dinyatakan untuk mengelakkan sebarang implikasi perundangan, keselamatan dan kesihatan khususnya dalam usaha kerajaan memerangi wabak Covid-19.

Butiran lanjut mengenai SOP dan garis panduan itu boleh didapati menerusi laman sesawang www.kkmm.gov.my dan www.finas.gov.my. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!