X

Kindly register in order to view this article
!

Orang ramai puas hati vaksinasi pandu lalu

Jururawat Hospital Pantai Pulau Pinang memberi suntikan vaksin Covid-19 pada Ooi Geok Keow, 90, di pusat vaksinasi pandu lalu Hospital Pantai Pulau Pinang pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

GEORGETOWN - Orang ramai yang ditemui di pusat vaksinasi pandu lalu Hospital Pantai Pulau Pinang rata-rata dilihat berpuas hati dengan keseluruhan perkhidmatan yang disediakan pusat pemberian vaksin (PPV) hospital itu.

Ooi Geok Keow, 90, yang duduk di tempat duduk penumpang ditemani anak dan menantunya nampak ceria ketika ditemui di pusat berkenaan hari ini.

Geok Keow yang tinggal di Sungai Ara memuji inisiatif yang disediakan di pusat pemberian vaksin Covid-19 itu kerana ia benar-benar mudah baginya, terutama dari segi pergerakan.

“Suntikan tidak sakit pun, dan saya tidak perlu keluar dari kereta untuk dapatkan suntikan dos kedua hari ini,” katanya kepada Bernama.

Seorang jurujual Mok Gaik Lean, 49, pula memberitahu, beliau mendapat tahu mengenai perkhidmatan pandu lalu itu apabila dihubungi oleh pihak hospital tiga hari lepas menerusi panggilan telefon dan diberi pilihan sama ada untuk mendapatkan perkhidmatan secara datang ke kaunter dewan atau pandu lalu.

Katanya, dia gembira dapat memilih perkhidmatan pandu lalu, kerana ia selain pantas dan selesa, ia lebih mudah baginya untuk berada di dalam kereta bagi mendapatkan perkhidmatan.

Sejumlah 23 orang menerima suntikan vaksin mereka menerusi perkhidmatan pandu lalu hospital itu semalam, namun penyelaras Hospital Pantai Ganesh Rao berkata, perkhidmatan itu boleh dibangunkan lagi untuk memberikan suntikan kepada 50 penerima tiap sehari tidak lama lagi.

Hospital Pantai merupakan hospital swasta pertama di bahagian utara negara yang menyediakan perkhidmatan vaksinasi pandu lalu, selepas diberi kelulusan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk melaksanakannya pada 12 Julai lepas.

Jelas beliau, 10 petugas kesihatan ditambah bagi menguruskan perkhidmatan vaksinasi pandu lalu itu, menjadikan ketika ini 60 petugas mengendalikan pusat PPV setiap hari.

“Dengan tambahan perkhidmatan vaksinasi pandu lalu ini, pusat PPV kami boleh memberi suntikan kepada 250 penerima setiap hari,” ujarnya.

Perkhidmatan vaksinasi pandu lalu beroperasi dari 9 pagi hingga 1 petang setiap hari bekerja, manakala pusat PPV hospital dari 9 pagi hingga 4.30 petang. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!