X

Kindly register in order to view this article
!

Kijang Hijau tenang, tidak panik

Antara aksi menarik pertemuan Terengganu FC menentang Kelantan United di Kuala Terengganu. - Foto FB Terengganu FC
A
A

PENGENDALI Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor tidak panik walaupun Kijang Hijau tewas 4-0 kepada Terengganu FC dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Menurut Nazrulerwan, perlawanan tersebut cukup penting untuknya mendapatkan gambaran sebenar skuad ini sejak mengambil alih tugas daripada Akira Higashiyama bulan ini, sekaligus membolehkannya memperbaiki kelemahan sebelum berdepan PDRM FC pada 25 Julai ini.

Ini aksi pemanas kedua selepas menentang Penang FC pada minggu lalu yang menyaksikan mereka tewas 1-2.

Apa yang pasti, beliau percaya barisan pemain telah mendapatkan tahap kecergasan yang sepatutnya selepas lebih dua bulan tidak merasai perlawanan sebenar sejak Liga Malaysia berehat sambil mengharapkan kehadirannya ini diterima dengan baik oleh anak buah.

“Kalau boleh, memang la kita nak menang dalam aksi persahabatan semalam, tetapi kalau kita tidak kalah, saya rasa kita tidak akan tahu dekat mana kelemahan sebenar pasukan.

“Pertama sekali, skuad Nafuzi Zain sememangnya lebih hebat dan mendominasi, dan pasukan saya masih dalam proses menyesuaikan diri dan mendapatkan tahap kecergasan yang betul di atas padang.

“Tetapi, itu tidak bermakna mereka tidak bagus, dan saya percaya ia akan menjadi pengajaran terbaik untuk kita tengok balik apa yang kita boleh diperbaiki sebelum kita menentang PDRM nanti,” jelasnya.

Sebelum ini, Nazrulerwan Makmor pernah membimbing pasukan sama pada pertengahan musim lalu dan meletakkan Kelantan United di tangga kelapan untuk terus kekal di pentas Liga Premier.

Musim ini, beliau mengakui Higashiyama telah melakukan tugas yang baik untuk pasukan kini di tangga keenam liga dan amat penting untuk bekas pengendali Kuala Lumpur Rovers ini memastikan barisan pemain terus konsisten.

Dalam masa sama, Nazrulerwan tidak menolak peluang masih lagi terbuka untuk pasukannya cuba merebut tempat layak ke pentas Liga Super pada musim hadapan.

“Sekarang jurang mata pun tidak la terlalu jauh untuk kami cuba mengejar, dan ada tiga Reserve Team berada di atas kami.

“Jadi, tidak mustahil kami akan cuba untuk raih slot layak ke Liga Super sekiranya ada rezeki, tetapi kita sedar ianya bukan mudah.

“Kita perlu ambil serius baki perlawanan yang ada ini dan amat penting pemain-pemain terutamanya pemain baharu untuk cuba beri impak yang berbeza selepas ini,” tambahnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!