X

Kindly register in order to view this article
!

Aidiladha: Umat Islam laksana ibadah korban ikut SOP

Tiga daripada lima ekor lembu melepaskan diri semasa Program Ibadah Korban tahunan anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) di pekarangan Masjid Al-Malik Khalid USM pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Umat Islam di Malaysia hari ini menyambut Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19 yang mencatatkan kes lebih 10,000 setakat semalam.

Bagi negeri yang tidak membenarkan ibadah korban, rakyat akur dengan larangan itu demi kebaikan semua pihak.

Di SEREMBAN, Setiausaha Masjid Taman Bandar Senawang, Nazri Mat Noh berkata, suasana perayaan Aidiladha tetap dirasai dengan penduduk di taman itu melaungkan takbir raya di kediaman masing-masing.

“Ini adalah pertama kali saya tidak melakukan aktiviti menyembelih haiwan korban di masjid namun kita semua akur demi keselamatan bersama,” katanya.

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dalam kenyataan sebelum ini menangguhkan ibadah korban di negeri tersebut ekoran terdapat jangkitan yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan.

Di SHAH ALAM, Exco Hal Ehwal Agama, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memberitahu Bernama SOP sembelihan korban di Selangor adalah sebanyak tiga ekor lembu bagi setiap satu sesi dengan seekor lembu diuruskan oleh lima orang petugas yang telah divaksin.

“Daging korban turut diagihkan kepada golongan asnaf dan fakir miskin serta golongan terkesan dengan Covid-19,” kata Mohd Zawawi yang juga ahli kariah Masjid An-Naim, Jalan Kebun di Shah Alam.

Di KUANTAN, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 menetapkan maksimum lima ekor ternakan dikorbankan dalam satu sesi korban dengan petugas terlibat tidak melebihi 10 orang bagi mengelakkan kesesakan.

Imam dua masjid berkenaan, Mohd Saiful Bahari Kasim berkata, individu terlibat dalam aktiviti menyembelih dan melapah daging haiwan korban telah menjalani ujian saringan Covid-19 semalam.

Daging korban akan dihantar ke khemah sekatan jalan raya (SJR) supaya peserta korban atau fakir miskin yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh mengambil daging korban di situ, katanya.

Suasana sambutan Aidiladha di KOTA BHARU pula kelihatan lengang dengan pelaksanaan ibadah korban hanya di beberapa masjid serta larangan solat sunat Aidiladha di masjid kepada orang awam bagi membendung penularan Covid-19.

Imam muda Masjid Sultan Muhammad II di Telipot, Mohd Faiz Mohd Zainudin berkata 10 ekor lembu dikorbankan di masjid itu pada hari ini dan esok dengan lima ekor lembu diuruskan dalam sehari yang dikendalikan oleh 25 petugas.

Sementara di KUCHING, ibadah korban tidak dibenarkan susulan penemuan varian baharu Covid-19 di negeri berkenaan meskipun Sarawak telah memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain ibadah korban, aktiviti ziarah raya, ziarah kubur, jamuan selepas solat, takbir dari rumah ke rumah, rumah terbuka dan tahlil selepas solat sunat turut tidak dibenarkan Majlis Islam Sarawak.

Di PULAU PINANG, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, hanya lima ekor haiwan sahaja disembelih di masjid dan surau setiap hari di negeri itu.

Beliau berkata jawatankuasa ibadah korban bagi masjid dan surau perlu mendapatkan kebenaran daripada pejabat agama daerah terlebih dahulu dan memastikan kesemua SOP dipatuhi bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Di TERENGGANU, pengurus Program Korban Aidiladha Masjid At-Taqwa, Batu Enam, Kuala Nerus Mohd Akmal Othman berkata, pihaknya mengambil inisiatif mendapatkan lembu korban yang agak kecil kerana harganya lebih murah memandangkan masyarakat menghadapi masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!