Vaksin kurangkan risiko terkena cacar air

Implikasi akan lebih teruk jika terkena kepada orang dewasa berbanding kanak-kanak

x-default
x-default
A
A
A

ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

Soalan 1

Doktor, ada pelbagai pendapat mengenai jangkitan cacar air atau chicken pox. Ada berpendapat ia bahaya dan tidak kurang juga memikirkan ia biasa saja berlaku kepada sesiapa. Boleh doktor terangkan lebih lanjut?

INGIN TAHU, NATASHA OMAR, RAWANG, SELANGOR

Jawapan

CACAR air atau chicken pox adalah jangkitan disebabkan oleh virus varicella-zoster. Ia biasanya lebih kerap berlaku pada kanak-kanak, 90 peratus pada usia 10 tahun dan ke bawah.

CP2
CP2

Artikel Berkaitan:

Rawatan dengan ubat antivirus (acyclovir) perlu diberi pada peringkat awal bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk serta berpanjangan dan bagi mengelakkan komplikasi berlaku.

Walaupun biasanya cacar air adalah penyakit yang tidak merbahaya (ia hanya melibatkan bahagian kulit sahaja), namun komplikasi boleh berlaku seperti radang ke paru-paru (pneumonitis) atau radang ke otak (encephalitis).

Jangkitan bakteria (secondary bacterial infection) boleh berlaku ke atas bahagian kulit yang terluka disebabkan permukaan kulit yang pecah sama ada kesan jangkitan itu sendiri atau digaru kerana gatal.

Kepada mereka yang pernah terkena cacar air ini, mereka juga boleh terkena penyakit kayap (herpes-zoster/shingles) apabila virus cacar air yang dorman pada saraf menjadi aktif semula. Oleh kerana ia melibatkan saraf rasa (sensory nerve) kesan kayap pada kulit ini terasa sakit dan perit.

Risiko komplikasi

Jika ibu mengandung terkena jangkitan cacar air ini lima hari sebelum atau dua hari selepas bersalin, 17-30 peratus anak yang lahir boleh terkena jangkitan ini. Jika bayi baru lahir terkena jangkitan cacar air, risiko untuk berlaku komplikasi adalah lebih tinggi.

Terdapat vaksin untuk cacar air yang boleh diberi kepada kanak-kanak berumur satu tahun ke atas.

Vaksin ini lebih digalakkan diberi semasa tiada terdedah kepada pesakit lain. Jika kanak-kanak itu terdedah kepada pesakit cacar air dalam masa tiga hingga lima hari, ada kajian menunjukkan, jika diberi vaksin, masih boleh mendapat perlindungan daripada dijangkiti.

Vaksin ini melindungi pesakit dalam 90-95 peratus. Jika terkena pun, keadaan kanak-kanak diberi vaksin ini tidak seteruk dibandingkan dengan kanak-kanak tidak mendapat vaksin.

Ada yang mengatakan setiap orang akan terkena juga penyakit cacar air ini. Jika anak kita tidak mengambil vaksin sudah tentu mereka boleh terkena penyakit ini tetapi jika mereka mengambil vaksin kebarangkalian untuk anak-anak kita terkena adalah rendah.

Orang dewasa masih belum kena cacar air juga boleh mengambil vaksin ini. Vaksin mengurangkan risiko mendapat jangkitan cacar air dan kayap serta mengelakkan berlakunya komplikasi dinyatakan di atas daripada berlaku.

CP 3
CP 3



Belum ada vaksin untuk HFMD

SOALAN 2

KANAK-KANAK sering terkena penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD). Sebagai ibu, saya runsing apabila anak terkena penyakit ini. Adakah ia sama dengan sakit cacar air?

IBU RISAU, FATIMAH MOHD NOR, PONTIAN, JOHOR

Jawapan

Kanak-kanak boleh terkena HFMD lebih daripada sekali. Setakat ini tiada vaksin untuk HFMD.

Walaupun komplikasi akibatnya seperti radang ke paru-paru/jantung dan otak boleh dan pernah berlaku dahulu, namun setakat ini, tiada laporan komplikasi tersebut berlaku terhadap kes-kes HFMD yang ada sekarang.

Perbezaan cacar air, ia lebih banyak berlaku pada bahagian badan, muka, kepala. HFMD lebih tertumpu pada tangan, kaki, siku, lutut, punggung dan bahagian kemaluan.

Cacar air biasanya tiada ulser di mulut. Ruam cacar air bintik air jernih (clear vesicles). HFMD pula tidak jernih. Cacar air ada rawatan dengan antivirus, HFMD tiada. Cacar air ada vaksin, HFMD tiada.

Secara amnya, penyakit ini tidak merbahaya, cuma ulser pada mulut mengganggu anak-anak untuk makan atau menyusu.

Penyakit HFMD ini lebih kerap berlaku pada kanak-kanak 6 tahun ke bawah walaupun boleh juga berlaku dalam lingkungan umur lebih 6 tahun.

Biasanya terdapat demam tetapi tidak tinggi. Kanak-kanak tersebut masih aktif cuma akan sakit atau menangis apabila mahu susu atau makan sebab sakit mulut.

Majoriti kes tidak memerlukan kemasukan ke wad cuma ambil rawatan untuk ulser mulut dan ubat demam.

Perlu asingkan kanak-kanak ini daripada pergi ke tadika, sekolah, rumah pengasuh atau tempat yang ramai orang bagi mengelakkan penularan kes.

ANEKDOT

Terdapat beberapa info penting untuk ibu bapa mengenai penyakit cacar air ini:

- Biasanya simptom pada kulit merujuk kepada timbulnya gelembung cecair jernih (clear vesicle) yang berlaku selepas 10-21 hari terdedah kepada pesakit yang lain.

- Tidak semestinya terdapat demam. Ini kerana ada pesakit mengalaminya tidak demam.

- Jika orang dewasa terkena penyakit ini, biasanya keadaan adalah lebih teruk daripada kanak-kanak. Demam agak kuat dan kesan pada kulit yang banyak dan besar-besar.



Profil Dr Saiful Bahri Jaudin

Berpengalaman lebih 17 tahun sebagai pakar perubatan kanak-kanak dan sekarang membuka klinik sendiri dalam bidang berkaitan. Beliau juga merupakan Pakar Pelawat Kanak-kanak sebuah pusat perubatan swasta di Kajang, Selangor.

CP 5
CP 5